Selasa, 4 Januari 2022 | 8:05pm
 - Foto hiasan / Fail NSTP
- Foto hiasan / Fail NSTP

Anak belum layak divaksin jadi mangsa kecuaian

KOTA KINABALU: Kelalaian ibu bapa dilihat antara punca 45 kanak-kanak berumur bawah 12 tahun atau belum layak divaksin dijangkiti virus COVID-19 di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu mewakili 17.4 peratus daripada 258 kes keseluruhan yang direkodkan hari ini di Sabah.

Katanya, situasi itu boleh dikaitkan dengan sikap segelintir individu termasuk ibu bapa yang mungkin beranggapan kebal daripada jangkitan COVID-19 kerana sudah berstatus lengkap vaksin.

"Kira-kira 70 peratus daripada kes baharu COVID-19 setiap hari di Sabah membabitkan mereka yang sudah lengkap divaksin. Ia memberi gambaran mereka beranggapan sudah kebal daripada jangkitan.

"Anggapan ini bukan sahaja salah tetapi mereka tidak sedar boleh menjangkiti anak-anak di rumah yang belum layak divaksin.

"Sebanyak 17.4 peratus kes hari ini adalah dalam kalangan kanak-kanak yang belum layak menerima vaksin," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Berdasarkan Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), kanak-kanak adalah golongan kedua paling ramai dijangkiti COVID-19 di negeri itu selepas golongan lengkap vaksin (183 orang), manakala golongan belum menerima vaksin di kedudukan ketiga dengan 17 orang pesakit hari ini.

Bagi kanak-kanak, mereka yang berumur antara enam tahun hingga 11 tahun paling ramai dijangkiti hari ini iaitu 25 orang, diikuti kanak-kanak berumur antara setahun hingga lima tahun (18 orang), manakala dua bayi berumur bawah setahun turut tersenarai antara pesakit baharu COVID-19 hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kes COVID-19 di Sabah melonjak dengan peningkatan 97 kes menjadikan jangkitan baharu berjumlah 258 kes.

Katanya, tiga kematian turut dilaporkan hari ini iaitu masing-masing satu kes di Kota Kinabalu, Tuaran dan Tawau, manakala 260 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan baki yang masih dirawat seramai 713 orang.

Berdasarkan jangkitan mengikut daerah, Masidi berkata sebanyak 10 daerah merekodkan kes dua angka hari ini dengan Penampang mencatat kes tertinggi iaitu 49 kes, diikuti Kota Kinabalu (32 kes), Tuaran (22 kes) dan masing-masing 19 kes di Kota Marudu serta Kota Belud.

Berita Harian X