Selasa, 4 Januari 2022 | 6:37pm
 Sahruddin (kiri) dan Khairuzamri (kanan) meninjau kebun nanas diusahakan Nazaruddin yang terkesan banjir di Kampung Karak Setia hari ini. - Foto Bernama
Sahruddin (kiri) dan Khairuzamri (kanan) meninjau kebun nanas diusahakan Nazaruddin yang terkesan banjir di Kampung Karak Setia hari ini. - Foto Bernama

90 pekebun nanas rugi RM5.4 juta akibat banjir

BENTONG: Seramai 90 pekebun nanas di Selangor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM5.4 juta selepas kawasan tanaman mereka seluas 49 hektar terjejas akibat banjir.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata pihaknya kini mengambil inisiatif turun padang dan melihat sendiri kemusnahan tanaman pekebun nanas bagi menyampaikan bantuan sewajarnya.

"Di Pahang, seramai 39 pekebun terjejas akibat banjir membabitkan kerugian dianggarkan berjumlah RM1 juta dan untuk hari ini, kita turun melihat kerosakan tanaman pekebun dalam usaha mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan mereka.

"Selain barangan keperluan asas, antara bantuan lain akan disalurkan menerusi Tabung Bencana LPNM ialah membabitkan input pertanian seperti racun kulat, benih, baja sebanyak RM2,500 perhektar dengan bantuan maksimum empat hektar," katanya selepas melawat rumah dan kebun nanas milik Nazaruddin Abdul Jalil di Kampung Karak Setia, di sini, hari ini yang terjejas akibat banjir pada pertengahan bulan lalu.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairuzamri M Salleh, Pengarah LPNM Pahang Muhammad Fauzan Mohd dan Ketua Komunikasi Korporat LPNM, Elmie Adha Ismail.

Mengulas lanjut, Sahruddin berkata, LPNM juga akan membantu pekebun nanas yang rumah terjejas banjir melalui bantuan asas menerusi program MAFI Prihatin iaitu produk makanan dan keperluan asas lain.

"LPNM akan sentiasa mengemas kini maklumat diterima berkenaan pekebun terjejas sama ada dari segi kebun, rumah atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Nazaruddin, 49, berkata beliau berterima kasih kepada LPNM yang sudi menghulurkan bantuan dan berkunjung ke rumah serta kebunnya bagi melihat sendiri kerosakan dialami.

Bapa dua anak yang mengusahakan tanaman berkenaan sejak empat tahun lalu itu berkata, banjir mengakibatkan lebih 30 peratus daripada 0.40 hektar tanaman nanasnya rosak.

"Banyak bantuan saya terima dan paling terharu apabila LPNM berkunjung ke rumah dan ladang serta menyampaikan barangan diperlukan termasuk barangan makanan, tikar dan jet air.

"Selain itu, saya amat menghargai usaha mereka mahu membeli nanas varieti MD2 yang masih elok untuk dipasarkan bagi meringankan beban saya sekeluarga," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X