Isnin, 3 Januari 2022 | 11:45am
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar

Usahawan MEDAC terjejas banjir dapat moratorium

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memberi moratorium kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) biayaannya, yang terjejas banjir, baru-baru ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata inisiatif itu bertujuan membantu usahawan yang terkesan dengan bencana itu dan memerlukan masa untuk kembali beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, inisiatif itu membabitkan Bank Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Bank dan SME Corp.

Katanya, Bank Rakyat memberi penangguhan selama enam bulan kepada peminjam yang terkesan dengan banjir.

"Ia membabitkan mereka yang meminjam dengan Bank Rakyat melalui Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i.

"Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga memberi moratorium selama enam bulan, bergantung pada tahap kesan banjir dihadapi usahawan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini dalam perutusan tahun baharu 2022 dilaporkan berkata, kerajaan prihatin dengan masalah dihadapi usahawan PMKS dan mahu ia dipulihkan segera.

Mengulas lanjut, Noh berkata, SME Bank memberi pengecualian sewaan selama dua bulan kepada penyewa di kompleks perniagaan usahawan SME Bank yang terjejas banjir.

Beliau berkata, SME Bank turut menawarkan penjadualan semula kepada semua usahawan terkesan dengan banjir dan menawarkan Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000 dengan enam bulan moratorium.

Selain itu, SME Corp menawarkan tiga pakej pembiayaan iaitu Pembiayaan Pembaharuan PKS (SMERF), Pinjaman Mudah untuk PKS (SLSME) dan Dana Kecemasan PKS (SMEEF) kepada semua PKS yang terjejas banjir.

"Pakej ini membabitkan semua sektor ekonomi dan layak untuk membeli peralatan, baik pulih premis perniagaan dan dana modal permulaan perniagaan, dengan moratorium pembayaran balik sehingga enam bulan.

"Peserta tiga program sedia ada ini juga akan diberikan moratorium selama enam bulan sehingga Jun 2022.

"Kerajaan komited dalam memastikan bantuan disediakan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Berita Harian X