Ahad, 2 Januari 2022 | 8:52pm
Datuk Masidi Manjun.
Datuk Masidi Manjun.

Sabah catat 165 kes baharu COVID-19

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat penurunan jangkitan COVID-19 dengan hanya 165 kes baharu direkodkan, turun sebanyak 99 kes berbanding 264 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata penurunan itu didorong penyusutan kes yang agak besar di beberapa daerah pada hari ini.

"Setelah beberapa hari mencatat peningkatan kes, Sabah hari ini merekodkan penurunan sebanyak 99 kes menjadikan kes harian baharu sebanyak 165 kes sahaja.

"Beberapa daerah menunjukkan penurunan yang agak besar seperti Tuaran turun sebanyak 34 kes, diikuti Kota Kinabalu (turun 23 kes), Ranau (turun 15 kes) dan Penampang (turun 12 kes).

"Hanya daerah Tawau yang merekodkan peningkatan ketara dengan pertambahan sebanyak 10 kes berbanding semalam," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata daerah lain hanya mencatat perubahan pada kadar satu angka atau kekal seperti catatan semalam.

Bagaimanapun, katanya dua daerah iaitu Tawau dan Sipitang yang sebelum ini berada dalam zon jingga kembali ke zon merah hari ini, manakala Kudat berubah daripada kuning ke zon jingga berikutan peningkatan kes aktif.

Ia sekali gus menyebabkan daerah dalam zon merah di Sabah meningkat kepada 16 hari ini, diikuti tiga daerah dalam zon jingga dan lapan daerah dalam zon kuning.

Secara keseluruhan, katanya sebanyak tujuh daerah mencatat kes dua angka hari ini dengan kes tertinggi di Kota Kinabalu iaitu sebanyak 33 kes, diikuti Penampang (19), Kota Belud (19), Ranau (17), Tawau (11) dan masing-masing 10 kes di Papar serta Kota Marudu.

"Sebanyak 14 daerah lagi mencatat kes satu angka sahaja, manakala enam daerah mencatat sifar kes iaitu Semporna, Kunak, Sipitang, Pitas, Tongod dan Kalabakan," katanya.

Sementara itu, dua kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini, kedua-duanya di daerah Keningau, manakala 100 pesakit dilaporkan sembuh dan 670 pesakit masih menjalani rawatan.

Berita Harian X