Ahad, 2 Januari 2022 | 7:04pm

172 kes jangkitan VOC dikesan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan mengesan 172 kes jangkitan membabitkan varian membimbangkan (VOC) antara 25 Disember hingga hari ini.

Daripada jumlah itu, 170 kes membabitkan varian Delta, manakala dua kes varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jangkitan VOC itu ditemui hasil analisis dan penjujukan dijalankan di empat makmal kajian.

Beliau berkata, sebanyak 107 kes baharu dengan kesemuanya varian Delta di kesan di makmal The Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC).

Makmal Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) pula mengenal pasti 40 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta, manakala makmal Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Molecular Biology Institute (UMBI) mengenal pasti 23 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta.

Katanya, dua kes Omicron dikesan makmal di Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS).

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mendapat perhatian (VOI) adalah sebanyak 5,480 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, sebanyak 5,460 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat tengah hari tadi, KKM sudah mengesan 5,149 kes varian Delta, 233 kes varian Beta, 14 kes varian Alpha, dan 64 kes varian Omicron bagi kes VOC manakala bagi kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

Beliau berkata, daripada bilangan kes jangkitan membabitkan varian Delta antara 25 Disember hingga hari ini, sebanyak 60 kes dikesan di Kelantan, Perak (41), Pulau Pinang (34), Johor (13), Negeri Sembilan (enam), masing-masing lima di Pahang dan Melaka serta masing-masing tiga di Terengganu dan Kedah dan dua kes di Sarawak membabitkan jangkitan Omicron.

Berita Harian X