Ahad, 2 Januari 2022 | 3:06pm

KWSP bukan penyelesaian setiap cabaran - Tengku Zafrul

PUTRAJAYA: Semua pihak termasuk mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan bencana alam seperti banjir tidak boleh melihat simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu-satunya penyelesaian kepada setiap cabaran.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tiga program pengeluaran khas i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini hanya langkah jangka pendek serta bersifat sementara akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Beliau berkata, ketika ini ada pihak menuntut lebih banyak pengeluaran KWSP dibenarkan berikutan pihak terbabit melihat ia sebagai modal politik mudah.

Bagaimanapun, katanya, tuntutan sedemikian tidak dibuat dengan sikap bertanggungjawab, sebaliknya dilakukan secara melulu tanpa analisis dan perkiraan rapi.

"Kita tidak boleh membenarkan pengeluaran KWSP untuk semua bencana. Hampir setiap tahun negara dilanda banjir. Mungkin akan ada bencana lain seperti tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya.

"Kalau untuk setiap bencana ini kita nak keluarkan simpanan KWSP, sampai bila-bila pun simpanan hari tua ini tidak tercapai matlamatnya.

"Hakikatnya hampir 50 peratus atau kira-kira enam juta pencarum mempunyai baki caruman kurang daripada RM10,000," katanya di Facebook, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, ketika ini ada ahli KWSP yang sudah membuat pengeluaran sehingga RM71,000 melalui tiga pengeluaran khas berkenaan dengan jumlah keseluruhan membabitkan RM101 bilion.

Beliau berkata, jika kerajaan terus membenarkan pengeluaran khas demikian, tidak diketahui apa yang akan terjadi pada simpanan hari tua pencarum terbabit.

Katanya, golongan terbabit termasuk 74 peratus Bumiputera tidak akan mendapat faedah jika kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan i-Citra seperti didesak sesetengah pihak membabitkan simpanan RM10,000.

"Lebih membimbangkan lagi 79 peratus daripada golongan yang mempunyai simpanan kurang RM1,000 juga adalah Bumiputera.

"Percayalah dalam menggubal dasar, kerajaan perlu bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan bukan saja jangka pendek tapi juga kesejahteraan jangka panjang iaitu untuk anak cucu kita kelak," katanya.

Dalam membantu mangsa bencana termasuk banjir yang berlaku baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhannya banyak bantuan dihulurkan kerajaan bagi membantu rakyat.

Beliau berkata, antaranya bagi membantu aliran tunai golongan B40 dan M40, kerajaan sudah menyalurkan bantuan berjumlah RM10 bilion melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan juga Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) yang dimanfaatkan kira-kira 11 juta penerima.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut menyalurkan bantuan wang ihsan yang ditingkatkan kepada RM1,000 kepada mangsa banjir baru-baru ini serta pelbagai jenis bantuan lain seperti bantuan untuk membeli perkakasan elektrik, bantuan untuk membaiki kenderaan, diskaun sehingga 50 peratus terhadap alat ganti kereta, pembiayaan pada kadar faedah sifar peratus, moratorium dan banyak lagi.

"Tujuan KWSP adalah tidak lain dan tidak bukan untuk persediaan masa tua. Apabila kudrat terus bekerja mula berkurangan.

"Perlu kita ketahui adalah amat penting rakyat kita memiliki persediaan hari tua kerana tidak lama dari sekarang, iaitu pada 2030 Malaysia dijangka mencapai status negara tua

"Ini bermaksud jangka masa lapan tahun saja golongan pesara dan warga tua akan merangkumi 15 peratus atau lebih 5.3 juta daripada penduduk negara.

"Lapan tahun bukanlah lama. Ini bermakna mereka akan memerlukan simpanan yang lebih banyak untuk membiayai sara hidup selepas bersara," katanya.

Berita Harian X