Sabtu, 1 Januari 2022 | 6:47pm
Mustaffa menunjukkan gambar arwah anaknya, Saiful Anuar Mustaffa yang ditemui lemas pagi tadi - Foto NSTP/Rosli Ilham
Mustaffa menunjukkan gambar arwah anaknya, Saiful Anuar Mustaffa yang ditemui lemas pagi tadi - Foto NSTP/Rosli Ilham

Majlis sambutan ulang tahun anak bertukar duka

CHUKAI: Hasrat seorang bapa membuat kejutan pada hari lahir anak tunggalnya tidak kesampaian selepas dia lemas ketika keluar menangkap ikan berhampiran Ladang Rakyat, Mak Lagam, pagi tadi.

Perancangannya, Saiful Anuar Mustaffa, 39, ingin menyambut hari lahir anak tunggalnya, Nur Syazliana Idayu, 15, bersama ahli keluarga yang lain, petang ini di kampungnya di FELDA Neram 2.

Bapa Saiful, Mustaffa Muda, 61, berkata majlis hari jadi itu bertukar menjadi duka buat mereka sekeluarga.

"Arwah (Saiful) dan isterinya, Tuan Idawati Tuan Din, 37, sering membuat majlis hari lahir anaknya itu di kampung.

"Namun pada hari ini arwah hendak buat kejutan untuk membuat majlis sambutan itu dengan turut menjemput ahli keluarga yang lain," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Kemaman.

Mustaffa berkata, anaknya itu tinggal di Kampung Gong Pasir Dungun kerana bertugas sebagai pengurus di sebuah stesen minyak di Dungun.

"Dia pulang semalam ke rumah mentuanya di FELDA Neram 2, yang juga terletak berhampiran dengan rumah saya untuk raikan hari lahir anaknya itu.

"Arwah dan isterinya telah membuat persiapan termasuk membeli kek dan menempah pulut kuning namun semuanya kini tinggal kenangan," katanya.

Sementara itu, Hafizuddin Rawi, 27, berkata, dia diajak rakannya, Tuan Zamri Tuan Din, 24, yang juga adik ipar arwah untuk pergi mengangkat pukat di situ.

"Pukat itu dilabuhkan Tuan Zamri sejak semalam dan kira-kira jam 8.40 pagi ini, kami bertiga termasuk arwah pergi mengangkat pukat dengan menggunakan pelampung setiap seorang.

"Jarak daratan dengan pukat yang ditahan itu sekitar 40 meter dan ketika kami asyik mencabut ikan di pukat, mangsa mengadu badannya kesejukan dan meminta izin untuk ke darat," katanya.

Katanya, dia dan Tuan Zamri memerhatikan arwah pulang ke darat.

"Tiba-tiba Tuan Zamri berasa pelik selepas melihat pelampung mangsa tidak ada sebelum bergegas ke situ.

"Sebaik tiba di situ, Tuan Zamri menjerit meminta bantuan saya dan saya terus bergegas ke situ dan ketika itu kami mendapati kepala mangsa sudah tenggelam ke dalam air sementara tangan kanannya masih berpaut pada pelampung," katanya.

Katanya, mereka berdua kemudiannya mengangkat mangsa ke darat sebelum Tuan Zamri menghubungi bapanya.

"Saiful Anuar dibawa ke Klinik Kesihatan berhampiran dan disahkan meninggal," katanya.

Berita Harian X