X
Sabtu, 1 Januari 2022 | 5:40pm
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mendengar taklimat berkaitan banjir ketika berangkat ke PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang hari ini - Foto NSTP/Ahmad Ismail
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mendengar taklimat berkaitan banjir ketika berangkat ke PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang hari ini - Foto NSTP/Ahmad Ismail

18,000 khemah untuk mangsa banjir disediakan di Johor

SEGAMAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah hampir 18,000 khemah bencana untuk kegunaan mangsa banjir telah dihantar kepada kawasan berisiko di seluruh Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, persediaan menghadapi banjir dibuat saban tahun dan dikemaskini oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

"Sama ada berlaku ataupun tidak, kita bersiap siaga untuk menghadapi banjir setiap tahun. Bukan sahaja khemah, malah persediaan lain juga disiapkan awal untuk segera dikerahkan jika sesuatu kawasan itu dilanda banjir.

"Semalam, pukul 2 pagi Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Ibrahim) dah datang ke Segamat untuk meninjau keadaan.

"Bantuan bukan sahaja untuk ketika berlakunya banjir, tetapi juga perlu disediakan untuk meneruskan kehidupan selepas bencana itu.

"Rumah perlu dibersihkan, peralatan yang rosak perlu diganti dan macam-macam lagi," titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan media dimuat naik di akaun Facebook hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang, di Labis, Segamat untuk melawat mangsa banjir.

Pusat berkenaan menempatkan 272 mangsa banjir daripada 93 keluarga yang menetap berhampiran.

Turut berangkat bersama pada lawatan itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Ketika tinjauan itu, Sultan Ibrahim turut menitahkan tempahan tilam dan bantal tambahan untuk keselesaan mangsa di pusat berkenaan.

"Yayasan saya akan cuba sebaiknya untuk membantu mangsa-mangsa banjir negeri Johor, namun tangan saya ada dua sahaja. Saya tak mampu buat bersendirian. Saya harap lebih ramai pihak akan tampil untuk saling membantu.

"Saya juga menyeru rakyat negeri Johor supaya membuat solat sunat hajat dan berdoa agar diringankan bencana yang dihadapi, serta dikurniakan perlindungan," titah baginda.

Berita Harian X