Sabtu, 1 Januari 2022 | 10:34am
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

KKM tidak 'pilih bulu' pemakaian gelang digital

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah mengamalkan dasar 'pilih bulu' terhadap pelaksanaan dasar pemakaian gelang pengawasan digital dalam kalangan pengembara dari luar negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika menegaskan perkara itu berkata pemakaian peranti pengesan diwajibkan kepada pengembara dari 18 negara berisiko.

Ia meliputi United Kingdom (UK), Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India, Kanada dan Nigeria, selain lapan negara baharu yang sekatan perjalanan sementaranya ditarik balik iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe serta Malawi susulan peningkatan jangkitan Omicron.

"Bukan hanya mereka yang pulang dari umrah dikenakan pemakaian peranti pengawasan digital, tetapi pengembara negara luar seperti UK, AS dan lain-lain, dalam senarai berisiko tinggi juga termaktub kepada arahan sama.

"Pemakaian peranti pengawasan digital ini ialah untuk mengawal pergerakan mereka yang sepatutnya menjalani kuarantin, justeru tidak timbul tanggapan bahawa hanya jemaah umrah perlu patuh kepada arahan sebegini.

"Mengenai penempatan di stesen kuarantin, berbanding kediaman sendiri, ia dibuat bersandarkan data semasa berhubung penularan jangkitan Omicron yang menyaksikan separuh atau 32 daripada 64 kes varian berkenaan adalah dalam kalangan jemaah umrah," katanya kepada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, semalam dilaporkan berkata pihaknya kecewa dengan perbezaan peraturan ditetapkan KKM bagi mereka yang pulang dari luar negara.

Hal itu kerana KKM didakwa mewajibkan jemaah umrah supaya memakai gelang pengawasan digital, manakala mereka yang kembali dari London dikatakan hanya diberi gelang merah jambu.

Berdasarkan data semasa, Khairy berkata sembilan kluster membabitkan jemaah umrah direkodkan bagi tempoh minggu epidemiologi ke 42 hingga 52.

Jelasnya, kluster berkenaan dikesan berlaku di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Sabah.

"Lima kluster babitkan varian Omicron, satu berkemungkinan Omicron dan tiga lagi varian lain, berkemungkinan Delta.

"Sebanyak 35 kontak rapat daripada kluster ini dikesan, membabitkan 12 daerah di enam negeri, justeru ia amat serius dan perlu dibendung secepat mungkin," katanya.

Ditanya kemungkinan kerajaan terpaksa melaksanakan sekatan pergerakan dan kawalan ketat sekiranya gelombang Omicron semakin meruncing, Khairy berkata perkara berkenaan akan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat mesyuarat kuartet.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan kerajaan ketika ini terarah kepada usaha untuk membendung dan memperlahankan penularan gelombang Omicron di Malaysia bagi mengelak sebarang pelaksanaan langkah kawalan pergerakan yang ketat.

"Langkah itu (kawalan pergerakan) ada kita cadangkan untuk dipertimbangkan di peringkat mesyuarat kuartet, dan ia akan diperincikan dalam tempoh beberapa hari seterusnya," katanya.

Berita Harian X