Jumaat, 31 Disember 2021 | 11:04pm
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya budaya hormat-menghormati antara rakyat selama ini terus menjadi teras utama untuk seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. NSTP/IHSAN RPO
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya budaya hormat-menghormati antara rakyat selama ini terus menjadi teras utama untuk seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. NSTP/IHSAN RPO

Budaya hormat menghormati tunjang perpaduan - Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya budaya hormat-menghormati antara rakyat selama ini, terus menjadi teras utama untuk seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Sultan Ibrahim bertitah, perpaduan yang terjalin akan membawa kestabilan, memberi keyakinan kepada pelabur, sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi negara.

Titah Sultan Ibrahim, keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat adalah perkara yang sentiasa baginda tekankan kerana ia tunjang kesejahteraan negara kita.

"Janganlah terpengaruh dengan cubaan segelintir pihak yang ingin memecah-belahkan rakyat kita dengan naratif yang sempit.

"Muhasabahlah diri, kembali kepada niat asal untuk berkhidmat membawa kemajuan dan kemakmuran kepada tanah air kita, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

"Sesungguhnya, muafakat itu berkat, maka bermuafakatlah semua demi kebaikan sejagat.

"Permuafakatan yang sihat akan memulihkan negara kita dan mengembalikannya ke landasan yang tepat untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran sebenar," titah Sultan Johor dalam perutusan Tahun Baharu 2022 yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut bersyukur dengan kedatangan tahun baharu 2022.

"Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat menyambut kedatangan Tahun Baharu 2022.

"Marilah kita bersama-sama berdoa memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dalam mengurniakan keselamatan dan keafiatan yang berpanjangan.

"Sama-sama juga kita doakan agar Allah Subhanahu Wata'ala mempermudahkan segala urusan negara kita dalam usaha kita pulih daripada kesan pandemik serta bencana alam yang melanda di penghujung tahun 2021," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang terus berjuang dalam membantu negara memerangi COVID-19 serta bencana alam yang menimpa.

"Suka juga saya mengingatkan rakyat jelata agar menjaga diri dan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan masing-masing," titah baginda.

Berita Harian X