Jumaat, 31 Disember 2021 | 10:28pm
Azman Adam meninjau beberapa restoran dan kedai makan sekitar Kulim dalam Op Menu yang berakhir hari ini. - Foto KPDNHEP
Azman Adam meninjau beberapa restoran dan kedai makan sekitar Kulim dalam Op Menu yang berakhir hari ini. - Foto KPDNHEP

Op Menu: 77 kes tanda harga, alat timbang dikesan

KULIM: Sebanyak 77 kes membabitkan kesalahan tanda harga dan alat timbang di premis perniagaan dikesan dilakukan peniaga dalam Op Menu sejak hampir dua bulan lalu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, berkata pihaknya turut menerima 50 aduan sepanjang Op Menu yang dilancarkan pada 5 November lalu.

Op Menu yang berakhir hari ini memberi fokus pemeriksaan ke atas premis bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan tanda harga dan juga penggunaan alat timbang yang sah.

"Sejak kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri, kita memberi fokus kepada restoran dan kedai makan bagi mengelak manipulasi harga dan penipuan timbang.

"Ini kerana kita mengetahui premis terbabit menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai selepas dibenarkan makan di restoran serta kedai makan mengikut prosuder ditetapkan," katanya.

Terdahulu, beliau mengetuai Op Menu dan pemeriksaan premis makanan dan restoran yang diadakan sekitar daerah ini petang tadi.

Azman berkata, pihaknya akan meneliti semua maklumat yang diperoleh dalam operasi terdahulu dan akan meneruskan Op Menu 2.0 yang dijangka dilaksana dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, KPDNHEP mengingatkan semua pengusaha restoran dan kedai makan supaya mematuhi undang-undang bagi mengelak dikompaun atau didakwa di mahkamah.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhiundang-undang di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.

"Bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 pula, peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi empat puluh ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun," katanya.

Berita Harian X