Jumaat, 31 Disember 2021 | 6:50pm
Sebahagian pelancong mula meninggalkan Taman Negara, Kuala Tahan bagi mengelakkan mereka terkandas akibat banjir. - Foto NSTP/Roselan Ab Malek
Sebahagian pelancong mula meninggalkan Taman Negara, Kuala Tahan bagi mengelakkan mereka terkandas akibat banjir. - Foto NSTP/Roselan Ab Malek

45 pelancong diminta keluar Taman Negara

JERANTUT: Polis minta semua pelancong di beberapa tempat penginapan di Kuala Tahan untuk meninggalkan segera kawasan itu bagi menggelakkan mereka terkandas susulan peningkatan paras Sungai Tembeling.

Berikutan itu, 45 pelancong tempatan yang berada di beberapa penginapan di kawasan itu mula keluar secara berperingkat sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan, berkata berasaskan trend air sungai Tembeling yang semakin meningkat bermula di Kampung Bantal, Hulu Tembeling petang semalam, pihaknya bimbang pelancong berkenaan akan terkandas buat tempoh yang lama jika laluan ke pekan Jerantut ditutup akibat banjir.

"Lokasi yang sering dinaiki air ialah Simpang Paya Garok, laluan berhampiran sawmill Jerantut Feri dan laluan Kampung Merting," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, polis sudah memantau pergerakan pelancong terbabit keluar dengan bantuan pengusaha pusat penginapan masing-masing.

"Operasi mengeluarkan mereka berjalan lancar dan hingga petang ini semua pusat penginapan di Taman Negara termasuk di Kampung Kuala Tahan sudah tidak berpenghuni lagi," katanya.

Berita Harian X