Jumaat, 31 Disember 2021 | 3:37pm

3,573 kes positif baharu

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,573 kes jangkitan baharu COVID-19 direkodkan setakat jam 12 tengah hari tadi, membabitkan 3,521 kes atau 98.5 peratus pesakit kategori 1 dan 2 manakala bakinya kategori 3, 4 serta 5.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah jangkitan baharu itu menjadikan kumulatif kes sebanyak 2,758,086, manakala 3,988 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kumulatif 2,685,378.

Sebanyak 343 kes COVID-19 hari ini adalah import dan bakinya 3,230 lagi kes tempatan.

Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 269 kes (217 kes disahkan COVID-19, 52 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan).

Kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 163 kes (83 kes disahkan COVID-19, 80 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan).

"Jumlah kluster sebanyak 6,128, kluster baharu (lima), kluster tamat (5,911) dan kluster aktif (217)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berkongsi kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di seluruh negara, Dr Noor Hisham memaklumkan, nilai Rt kebangsaan adalah 0.98.

Dua negeri mencatatkan kadar Rt tertinggi melepasi 1.00 iaitu Kelantan dengan bacaan 1.05 dan Terengganu, 1.01.

"Ia disusuli Melaka dengan bacaan Rt 0.98, Johor dan Kedah (0.97), Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Perak (0.95), Pulau Pinang (0.92), manakala Selangor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (0.90).

"Pahang dan Negeri Sembilan (0.89), Perlis (0.85), Wilayah Persekutuan Labuan (0.82) dan Sarawak (0.7)," katanya.

Berita Harian X