Jumaat, 31 Disember 2021 | 2:49pm

Hujan lebat di Johor, Pahang sehingga esok

KUALA LUMPUR: Amaran hujan berterusan pada tahap buruk dijangka berlaku di Johor dan Pahang sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan berkata, kawasan di Pahang yang berdepan hujan buruk itu ialah Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, manakala di Johor ialah di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Sementara itu, amaran hujan berterusan pada tahap waspada sehingga esok turut dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh) dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Johor Bahru).

"Amaran hujan berterusan pada tahap waspada sehingga 2 Januari ini pula dikeluarkan untuk kawasan-kawasan di Sabah iaitu di Pantai Barat (Tuaran, Ranau, Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran, Sandakan) serta Kudat.

"Angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

"Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung termasuk timur Johor, Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga 4 Januari ini," menurut kenyataan itu.

Berita Harian X