Jumaat, 31 Disember 2021 | 12:13pm
Foto ihsan Facebook Istana Negara
Foto ihsan Facebook Istana Negara

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Kuppan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara, Datuk M Kuppan yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan dalam Facebook Istana Negara, hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan perasaan sedih atas pemergian Kuppan, dan berharap keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu itu.

"Seri Paduka amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak negara," katanya.

Menurut catatan itu, mendiang yang berasal dari Pulau Pinang telah mewakili skuad bola sepak kebangsaan selama lapan tahun dari 1957 hingga 1965.

Ketika hayatnya, mendiang Kuppan turut mewakili pasukan bola sepak Pulau Pinang selama 10 musim sebelum mengumumkan persaraan pada 1967.

Sebagai jurulatih skuad kebangsaan, mendiang pernah membawa Malaysia memenangi Piala Raja Thailand sebanyak dua kali, iaitu pada 1975 dan 1976, serta memenangi Piala Merdeka pada 1976. – BERNAMA

Berita Harian X