KOTA KINABALU: Kes harian COVID-19 di Sabah kembali melepasi angka 200 apabila merekodkan 226 kes semalam.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kes baharu itu menyaksikan peningkatan sebanyak 34 kes berbanding Rabu lalu.
Beliau berkata lebih banyak daerah mencatat kes baharu dua angka dengan Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi 46 kes, diikuti Tuaran 37 kes.
"Lapan daerah lain mencatatkan kes antara 10 hingga 18 kes. Sebanyak 14 daerah mencatatkan kes satu angka dan cuma tiga daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu.
"Tuaran dan Tawau merekodkan peningkatan kes baharu yang agak tinggi masing-masing dengan 37 dan 15 kes manakala Ranau adalah satu-satunya daerah yang menunjukkan penurunan kes baharu iaitu 12 kes," katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata tujuh kematian dilaporkan semalam iaitu dua di Penampang manakala masing-masing satu kes di Beaufort, Keningau, Kota Kinabalu, Kota Marudu dan Tambunan.