Khamis, 30 Disember 2021 | 7:14pm
Orang ramai yang ada masalah dengan paparan MySejahtera berhubung status suntikan diminta merujuk semula tempat pemberian vaksin. - Foto hiasan NSTP
Orang ramai yang ada masalah dengan paparan MySejahtera berhubung status suntikan diminta merujuk semula tempat pemberian vaksin. - Foto hiasan NSTP

'Kunjungi semula di mana ambil vaksin'

KUALA LUMPUR: Pengguna aplikasi MySejahtera yang berdepan pelbagai masalah teknikal termasuk sijil vaksinasi tidak dikemaskini atau sebarang kesilapan dalam paparan disarankan supaya mengunjungi semula lokasi menerima suntikan vaksin, sama ada klinik atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Pegawai Perubatan Unit MySejahtera, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Muhammad Amirul Syahmi Shobri, berkata pihaknya menerima pelbagai aduan termasuk ada individu yang mendakwa belum menerima dos penggalak, tetapi paparan di MySejahtera menunjukkan sebaliknya.

Orang ramai yang hadir mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya baru-baru ini. - Foto fail NSTP
Orang ramai yang hadir mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya baru-baru ini. - Foto fail NSTP

"Bagi mereka yang menghadapi masalah maklumat tidak dikemaskini, sama ada bagi penerima dos penggalak atau dos pertama mahupun kedua vaksin, anda digalakkan pergi semula ke klinik atau PPV untuk bantuan lanjut.

"Pengurus dan pegawai yang menguruskan PPV dan klinik sudah diberikan taklimat dan diberikan atur kerja yang betul bagaimana hendak menguruskan isu seperti kehilangan sijil digital atau maklumat tidak dikemaskini," katanya pada program Webinar Dos Penggalak: Peranan MyChampion bertajuk Dos Penggalak: Bila giliran saya? yang disiarkan secara langsung di Facebook KKM malam tadi.

Orang ramai yang ada masalah dengan paparan MySejahtera diminta merujuk semula tempat pemberian vaksin. - Foto fail NSTP
Orang ramai yang ada masalah dengan paparan MySejahtera diminta merujuk semula tempat pemberian vaksin. - Foto fail NSTP

Dr Muhammad Amirul Syahmi berkata, sebaiknya individu yang hadir ke PPV atau klinik untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dinasihatkan supaya menyemak maklumat di MySejahtera sebelum pulang bagi memastikan semua maklumat di aplikasi itu adalah tepat.

"Pesanan saya, selepas terima suntikan tidak kiralah suntikan dos pertama, kedua atau dos penggalak, ketika tempoh menunggu untuk pemantauan, terus semak aplikasi MySejahtera masing-masing.

"Sepatutnya sijil vaksinasi digital anda akan serta merta memaparkan(sijil digital ) selepas menerima suntikan," katanya.

Mengulas lanjut, aduan orang ramai misalnya aplikasi MySejahtera menunjukkan telah menerima dos penggalak, sedangkan belum menerima tarikh janji temu boleh berlaku disebabkan kesalahan dalam memasukkan maklumat penting seperti nombor kad pengenalan.

"Ini boleh berlaku apabila ada individu yang mendaftar melalui MySejahtera tetapi memasukkan satu atau dua digit nombor kad pengenalan atau pasport yang salah.

"Kebetulan nombor kad pengenalan itu wujud, jadi disebabkan itu pendaftaran misalnya bagi dos penggalak tertera pada MySejahtera individu lain. Jadi saya ingatkan supaya semak butiran nombor kad pengenalan, pastikan ia tepat kerana ini juga antara punca mengapa ada individu yang tidak mendapat slot janji temu.

"Kesilapan maklumat penting ini turut menyebabkan ada individu yang berdepan kesukaran untuk melakukan aktiviti harian berikutan sijil digital vaksin tidak dipaparkan di aplikasi MySejahtera," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan individu yang tidak layak atau tidak digalakkan mendapat suntikan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan surat bukti melalui petugas kesihatan atau doktor pakar bagi mendapatkan pengesahan berhubung masalah kesihatan yang dihadapi.

"Bawa surat rujukan ini kepada pegawai kesihatan daerah atau negeri untuk tujuan pengesahan dan pihak ini akan membuat permohonan untuk muat naik status sijil pengecualian vaksin di aplikasi MySejahtera.

"Selepas selesai prosedur ini, akan dipaparkan sijil kuning, hampir sama seperti sijil vaksinasi bagi mereka yang layak menerima vaksin COVID-19," katanya.

Berita Harian X