Khamis, 30 Disember 2021 | 4:17pm

RM100 juta bantu pengusaha agromakanan terjejas banjir

JELEBU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ( MAFI) memperuntukan RM100 juta bagi membantu golongan pengusaha dalam bidang penternakan, perikanan, pertanian dan akuakultur yang terjejas akibat banjir.

Menteri, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata jumlah itu diasingkan daripada peruntukan belanjawan RM4.2 bilion yang diterima kementeriannya pada tahun depan.

Ronald Kiandee berkata peruntukan di bawah 'Dana Bangkit Semula Keluarga Agro' itu akan diagihkan dalam masa terdekat kepada pengusaha terbabit antara lain melalui Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian.

Katanya, bantuan yang akan diberikan dalam bentuk peralatan pertanian dan penternakan seperti mesin, tangki air dan dana Agrobank diharap, selain daripada meringankan beban pengusaha yang terjejas, ia juga mampu membangunkan semula sektor agromakanan negara.

"Banjir ini menyebabkan kerosakan yang besar dan isu bekalan dan sekuriti makanan adalah keutamaan MAFI. Ini langkah proaktif diambil MAFI.

"Jadi peruntukan digunakan untuk membangunkan semula sektor ini termasuk kepada agropereneur muda yang terkesan selain program komuniti, pertanian organik dan agropelancongan yang dikelola MAFI," katanya selepas meninjau ladang dan kolam ternakan yang terkesan akibat banjir, hari ini.

Ronald Kiandee (tiga dari kiri) ketika melawat ke projek ternakan ikan yang terjejas akibat banjir di Kampung Chennah, Jelebu. - Foto NSTP/ Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ronald Kiandee (tiga dari kiri) ketika melawat ke projek ternakan ikan yang terjejas akibat banjir di Kampung Chennah, Jelebu. - Foto NSTP/ Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata sektor agromakanan negara setakat ini mencatatkan kerugian sebanyak RM63 juta membabitkan 4,700 pengusaha susulan banjir dan jumlah itu dijangka bertambah berdasarkan data menyeluruh daripada jabatan dan agensi di bawah MAFI.

Bagaimanapun, Ronald memberi jaminan bekalan makanan negara setakat ini masih mencukupi dan bersedia menambah kuota import terutama bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat sekiranya berlaku kekurangan sumber makanan.

"Setakat ini negara tidak berdepan masalah kekurangan makanan dan MAFI memantau kesan banjir bukan sahaja terhadap bekalan beras tapi sayur dan daging, sebab itu kita nak mereka bangunkan semula perusahaan yang terjejas itu," katanya.

Selain itu, sektor agromakanan juga akan mendapat manfaat daripada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bernilai RM1.4 bilion dan MAFI akan menyelaras data kerugian bagi memastikan mangsa banjir di bawah sektor itu mendapat bantuan sewajarnya.

Ronald Kiandee (lima dari kiri) ketika melawat ke projek ternakan lembu yang terjejas akibat banjir di Kampung Esok, Jelebu. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ronald Kiandee (lima dari kiri) ketika melawat ke projek ternakan lembu yang terjejas akibat banjir di Kampung Esok, Jelebu. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X