Khamis, 30 Disember 2021 | 1:09pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu dan Pahang

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (bahaya) di Kelantan sehingga esok, selain Amaran Hujan Berterusan (buruk) di masing-masing empat kawasan di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Sabtu ini.

Berdasarkan laman web MetMalaysia, hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Jeli, selain di Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Di Terengganu, kawasan dijangka hujan membabitkan Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, manakala Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan di Pahang.

MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (waspada) sehingga Sabtu ini di Perlis, manakala di Kedah membabitkan kawasan Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Di Perak, ia membabitkan kawasan Hulu Perak, manakala di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan.

Di Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang; Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Rompin serta di seluruh Johor.

Selain itu, hujan berterusan di jangka berlaku sehingga Ahad ini di Sabah iaitu di kawasan Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

Berita Harian X