Khamis, 30 Disember 2021 | 12:08pm
 Gajah antara hidupan liar yang menjadi khazanah ngara yang tidak ternilai.
Gajah antara hidupan liar yang menjadi khazanah ngara yang tidak ternilai.

Hukuman berat menanti pelaku jenayah hidupan liar

KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 oleh Dewan Negara pada 21 Disember lalu, bertujuan meningkatkan lagi keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar.

Antara pindaan dibuat termasuk meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun supaya dapat mencegah serta memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), dalam kenyataan berkata, kelulusan Akta 716 itu dapat menambah baik Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

"Terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar secara dalam talian dan kutipan FI bagi aktiviti di dalam kawasan rizab serta kawasan perlindungan hidupan liar.

"Pindaan dilaksanakan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan pengawalan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih cekap serta berkesan bagi menjamin kelangsungan khazanah hidupan liar negara yang tidak ternilai," katanya.

Pada Oktober lalu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan RUU berkenaan lebih responsif kepada keperluan semasa dalam membanteras jenayah hidupan liar.

Katanya, penguatkuasaan Akta 716 sedia ada tidak dapat menurunkan kadar jenayah hidupan liar yang akan menyebabkan kepupusan hidupan liar.

"Pendekatan ini bukan saja bertujuan melindungi hidupan liar, malah turut melindungi habitatnya," katanya.

Akta 716 menetapkan denda maksimum bagi kesalahan berat seperti pemburuan haram hidupan liar dilindungi sepenuhnya seperti harimau belang, harimau kumbang, harimau dahan, kambing gurun dan seladang ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Selain itu, hukuman penjara maksimum ditingkatkan daripada 10 kepada 15 tahun sebagai hukuman bersifat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah.

Seksyen 88B turut diperkenalkan bagi membolehkan tindakan perundangan dikenakan kepada individu yang mengiklan atau mempromosi hidupan liar bagi maksud menjual atau menawarkan perolehan hidupan liar secara haram.

"Pada masa ini, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) tidak dapat mengawal aktiviti mempromosikan hidupan liar dalam talian melalui laman web, media sosial atau medium interaktif lain berikutan tiada peruntukan melarang aktiviti itu," katanya.

Berita Harian X