Rabu, 29 Disember 2021 | 10:37pm
Mahdzir melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Pian, hari ini. - NSTP/ ROSELAN AB MALEK
Mahdzir melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Pian, hari ini. - NSTP/ ROSELAN AB MALEK

KPLB biayai baik pulih, bina rumah mangsa banjir layak

TEMERLOH: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membiayai kos pembinaan serta baik pulih rumah terkesan banjir membabitkan penduduk yang layak di luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata peruntukan RM56,000 disediakan bagi pembinaan setiap unit rumah baharu terbabit dan RM15,000 pula bagi baik pulih.

"Kerajaan amat prihatin dengan beban dialami mangsa banjir. Keutamaan pembinaan rumah baharu serta baik pulih kediaman mangsa banjir itu adalah golongan yang memenuhi syarat kelayakan di kawasan luar bandar.

"Bancian jumlah rumah yang perlu diperbaiki serta dibina semula, sedang dilakukan dan kerja terbabit akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir dan menyampaikan sumbangan di Kampung Batu Kapor, Mentakab, hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Pian, Kuala Krau, dan TADIKA di Kampung Penderas yang terjejas banjir.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KPLB turut menubuhkan pasukan sukarelawan sendiri bagi membantu mangsa banjir.

"Esok, sukarelawan KPLB dijadualkan pergi ke Bukit Changgang, Selangor, dan Bentong yang juga akan dijadikan kawasan angkat kementerian ini," katanya.

Beliau memaklumkan, sukarelawan berkenaan terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi bawah KPLB, termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Berita Harian X