KUALA LUMPUR: Beberapa inisiatif dilaksanakan bagi meringankan beban mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan peribadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PERODUA menyediakan khidmat tunda kereta ke pusat servis secara percuma.
"PERODUA turut bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan secara percuma dan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas alat ganti.
"PROTON juga bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50 peratus bagi kebanyakan model kereta serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta secara percuma di pusat servis mereka yang berdaftar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma.
Katanya, mereka juga memberikan diskaun sebanyak 25 peratus atau lebih, ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.
"Beberapa syarikat turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun.
"Baucar sebanyak RM1,000 untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang rosak," katanya.