Rabu, 29 Disember 2021 | 5:34pm
Mangsa banjir, Asiah Osman, 63 menyelamatkan diri dengan menaiki bumbung rumahnya ketika banjir di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Mangsa banjir, Asiah Osman, 63 menyelamatkan diri dengan menaiki bumbung rumahnya ketika banjir di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Ular sawa teman 10 jam

KAJANG: Dua wanita warga emas yang berlindung dari banjir dengan duduk di atas bumbung rumah tidak menyangka seekor ular sawa juga menumpang berlindung.

Kejadian yang berlaku pada malam 18 Disember lalu di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, di sini, berakhir tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini walaupun mereka duduk bersama dengan ular hampir 10 jam.

Mangsa Asian Osman, 63, berkata dia dan adiknya berusia 62 tahun terpaksa memanjat ke bumbung rumah selepas banjir lumpur menenggelamkan rumah yang diduduki sejak 40 tahun lalu kerana air naik sehingga tiga meter.

"Saya terpaksa memanjat bumbung rumah pada jam 7 malam bersama adik saya dan empat ekor kucing kami, selepas air naik akibat hujan yang tidak berhenti dari pagi.

"Semasa berada atas bumbung, saya terlihat seeokor ular sawa betul-betul di balik bumbung belakang saya, namun saya merahsiakan perkara itu dari adik saya kerana bimbang dia panik dan terjun ke dalam air," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, hari ini.

Katanya, susulan dari itu berdoa dan berbisik dalam hati supaya ular berkenaan tidak mengancam keselamatan diri dan adiknya serta kucing peliharaan mereka.

"Saya katakan oh ular kau pun cari tempat berlindung, aku pun cari perlindungan. Kau jangan ganggu aku dan aku pun tidak akan ganggu kau.

"Sehinggalah air mulai surut dan tiada lagi arus deras pada jam 5 pagi, ular itu masuk ke dalam air dan kami turun ke tanah," katanya.

Asiah berkata, semasa kejadian jam 7 malam itu, dia, adik dan anak angkatnya tinggal dalam rumah berkenaan ketika hujan lebat sejak pagi.

"Mula-mula hujan turun waktu pagi hari, saya merasakan sama seperti sebelum ini. Namun, selepas waktu Maghrib, air dari sungai dan dari arah bukit di belakang rumahnya bertembung dan menyebabkan arus deras sebelum naik ke paras bumbung.

"Masa itu saya terus mengarahkan anak angkat saya panjat pokok langsat, selepas jambatan rumah kami juga dinaiki air sepenuhnya, manakala saya dan adik terus memanjat bumbung rumah," katanya.

Kejadian berkenaan membuatkan Asiah lebih trauma dan akan lebih berjaga-jaga selepas ini.

"Saya dah serik. Kalau lepas ni hujan turun dua selama dua jam, saya akan terus keluar dari rumah dan cari tempat selamat. Nyawa lebih penting berbanding harta-benda," katanya.

Keadaan rumah mangsa, banjir, Asiah yang menyelamatkan diri dengan menaiki bumbung rumahnya. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Keadaan rumah mangsa, banjir, Asiah yang menyelamatkan diri dengan menaiki bumbung rumahnya. - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Berita Harian X