Rabu, 29 Disember 2021 | 3:24pm
Sebahagian kampung yang masih digenangi air banjir sejak seminggu lalu ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang, hari ini. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian kampung yang masih digenangi air banjir sejak seminggu lalu ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang, hari ini. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Dalamkan dasar sungai sebelum tengkujuh

KUALA LUMPUR: Usaha mendalamkan dasar sungai perlu dijalankan menjelang setiap kali musim tengkujuh bagi mengelak fenomena banjir termenung di kawasan berisiko.

Pakar hidrologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Zulkifli Yusop, berkata banjir termenung atau kawasan yang ditenggelami air tanpa menunjukkan sebarang petanda untuk surut sebenarnya berpunca daripada pelbagai faktor.

Jelasnya, kawasan paling rendah seperti di Batu Pahat, Johor adalah lokasi utama yang sering dilanda keadaan sedemikian dan kadangkala berlarutan beberapa hari.

"Faktor utama bagi kawasan rendah ialah air banjir termenung tidak boleh keluar, sebaliknya berpatah balik daripada mengalir ke laut.

"Ini lazimnya sama ada berpunca daripada isi padu sungai yang sudah penuh berikutan hujan lebat untuk tempoh panjang atau disebabkan fenomena air pasang besar.

"Seolah-olah air banjir 'ditendang semula' dan kekal berada di kawasan rendah sehingga terjadinya keadaan yang kita sebut sebagai banjir termenung.

"Batu Pahat sering alami banjir termenung, tetapi di Selangor seperti Sri Muda, Shah Alam berbeza kerana ia sememangnya kawasan perumahan yang dibangunkan di dataran banjir," katanya kepada BH, hari ini.

Zulkifli berkata, faktor saliran atau sistem perparitan yang tersumbat dengan sampah atau kelodak sering mengundang risiko banjir kilat.

Selain itu, katanya, kecuaian segelintir individu yang mengambus sistem saliran dan perparitan ketika melakukan pengubahsuaian kawasan kediaman mereka berupaya menjadi faktor penyumbang.

"Tetapi ini bukan punca utama dalam insiden banjir luar biasa tempoh hari, sebaliknya ia berikutan fenomena air pasang besar dan taburan hujan yang sepatutnya berlaku dalam jangka sebulan.

"Kita kena tahu bahawa banjir besar seperti ini bukan selalu berlaku, mungkin dalam masa 20 hingga 30 tahun sekali, justeru sebelum musim tengkujuh, kalau nak dalamkan dasar sungai, ia membantu juga terutama dekat kawasan kampung.

"Ini bagi memastikan aliran sungai lancar dan laju, tanpa melimpah ke tebing dan menyebabkan banjir di kawasan berdekatan," katanya.

Mengutarakan corak penyelesaian terbaik dalam jangka panjang, Zulkifli menggesa kerajaan, agensi berkaitan dan pemaju untuk tidak membangunkan kawasan kediaman di dataran banjir.

Mengambil contoh Jepun, beliau berkata, Negara Matahari Terbit itu sebaliknya membangunkan kawasan dataran banjir untuk tujuan rekreasi, riadah dan sukan.

"Jepun guna juga kawasan dataran banjir, tetapi bukan untuk buat rumah, sebaliknya bina padang besbol, tenis, kawasan riadah dan rekreasi.

"Kalau rosak berikutan banjir pun, ia sekurang-kurangnya tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kes orang hilang.

"Masalah di Malaysia ialah kita lebih memikirkan keuntungan semata-mata sehingga sanggup tinggikan aras tanah untuk buat kawasan kediaman.

"Oleh itu, sudah tiba masa untuk semak balik perancangan pembinaan dan elak buat kawasan kediaman di dataran banjir," katanya.

Berita Harian X