Rabu, 29 Disember 2021 | 12:47pm

Bantuan RM10,000 untuk keluarga mangsa lemas akibat banjir

RANTAU PANJANG: Sumbangan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang lemas akibat banjir akan diberikan selepas selesai proses kenal pasti kesemua mangsa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata setakat ini proses mengenal pasti mangsa sedang dilakukan.

Katanya, sumbangan mangsa banjir mempunyai tiga fasa iaitu fasa pertama membabitkan mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (kanan) menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada salah seorang penerima, Maisarah Mat Daud, 33 pada Majlis Agihan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir Monsun Timur Lautdi Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Bagi fasa kedua pula ialah mangsa yang terjejas banjir namun tidak berpindah ke PPS. Untuk mangsa yang tidak berpindah, kita bekerjasama dengan penghulu untuk mengenal pasti mangsa.

"Seterusnya membabitkan mangsa yang meninggal dunia akibat banjir iaitu bantuan RM10,000. Sumbangan ini akan diberikan selepas proses kenal pasti selesai dijalankan sama ada mangsa yang meninggal dunia layak atau sebaliknya.

"Duit sudah ada cuma kita nak kenal pasti mangsa layak atau tidak selain mendapatkan pengesahan daripada surat hospital serta ketua kampung. Justeru, mana-mana keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat banjir boleh memaklumkan kepada penghulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 47 korban banjir dicatatkan sehingga Ahad lalu, manakala lima daripada mereka masih belum ditemui.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kenyataan memaklumkan lima mangsa membabitkan lelaki dewasa dalam kejadian banjir di Pahang.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, lebih 900 kaunselor sudah turun padang bagi memberi motivasi kepada mangsa yang mengalami trauma akibat banjir baru-baru ini.

"Pada masa sama, kita mengalu-alukan golongan agamawan turun padang memberi motivasi. Kepada mangsa banjir, kena yakin bahawa musibah yang berlaku ada hikmah di sebaliknya," katanya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (kanan) beramah mersa dengan sebahagian 170 penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) pada Majlis Agihan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir Monsun Timur Lautdi Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Berita Harian X