Rabu, 29 Disember 2021 | 12:35pm
(Gambar fail) Siti Zailah (kiri) turun padang mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan, minggu lalu. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) Siti Zailah (kiri) turun padang mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan, minggu lalu. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

114,280 mangsa banjir di 771 PPS kelolaan JKM

KUALA LUMPUR: Seramai 114,280 mangsa banjir seluruh negara ditempatkan di 771 pusat pemindahan sementara (PPS) kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh 17 Disember lalu hingga semalam.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata ia membabitkan 31,921 keluarga.

Beliau berkata, lebih 3,000 pegawai JKM ditugas untuk memastikan penempatan dan kebajikan penghuni PPS terurus serta terjaga makan minum, walaupun 135 daripada mereka turut menjadi mangsa banjir.

"Lebih RM35 juta dibelanjakan JKM bagi penyediaan barangan keperluan asas seperti gebar selesa, tikar dan pelapik lantai, selimut, tuala mandi, kain pelikat serta batik, kit kebersihan diri dan lain-lain keperluan.

"Selain itu, lebih 31,921 unit khemah lipat (C-tent) juga digunakan bagi memberi keselesaan kepada keluarga yang berada di PPS.

"JKM turut menyediakan makanan bermasak di setiap PPS mengikut bilangan mangsa, termasuk petugas, sepanjang tempoh mangsa berada di PPS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan telah menggazetkan 6,470 PPS di seluruh negara yang boleh menempatkan 1.5 juta mangsa bencana pada satu-satu masa.

Seterusnya, Siti Zailah berkata, seramai 1,500 sukarelawan kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia, sudah digerak untuk menjalankan intervensi psikososial kepada mangsa bencana.

Katanya, pihak kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita juga menggerakkan Skuad Waja yang memiliki keahlian berdaftar seramai 100,200, untuk turun padang membantu mangsa bencana dari aspek sokongan emosi dan pembersihan rumah.

Beliau berkata, JKM dengan kerjasama strategik Khidmat Malaysia dan Majlis Belia Negara turut menghantar lebih 10,000 sukarelawan ke negeri terbabit banjir.

"Kementerian melalui JKM juga membantu mengumpul dan mengatur gerak sukarelawan yang berminat untuk membantu pemulihan pascabanjir seperti pembersihan rumah, surau, masjid dan lain-lain.

"Setiap kumpulan sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah bagi mendapatkan lokasi bersesuaian.

"Kehadiran secara berkumpulan adalah lebih diutamakan dalam pelaksanaan kerja ini," katanya.

Berita Harian X