Selasa, 28 Disember 2021 | 8:19pm
Mangsa banjir, Nurhasnah Md Yunus, 60, masih tinggal di rumahnya di Kampung Sungai Ganchong di Pekan. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Mangsa banjir, Nurhasnah Md Yunus, 60, masih tinggal di rumahnya di Kampung Sungai Ganchong di Pekan. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

434 mangsa banjir dijangkiti COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 434 mangsa banjir disahkan positif COVID-19 dengan 14 jangkitan direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 78 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir dengan paling tinggi membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), iaitu 53 kes.

"Turut direkodkan ialah 17 kes penyakit kulit, empat gejala acute gastroenteritis (AGE) serta masing-masing dua kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta konjunktivitis," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehingga petang tadi, beliau berkata, sebanyak 19,099 mangsa banjir yang masih terjejas ditempatkan di 121 PPS di lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Tiada kluster baharu dilaporkan pada hari ini dalam kalangan mangsa banjir di PPS. Ini menjadikan setakat ini, hanya satu kluster dilaporkan di PPS, iaitu membabitkan 10 kes," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes COVID-19 kekal di bawah 3,000 kes apabila sebanyak 2,897 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah terkumpul jangkitan sebanyak 2,746,833 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah kes harian dilaporkan itu, 50 daripadanya (atau 1.7 peratus) kategori tiga, empat dan lima, manakala 2,847 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 192 kes import yang membabitkan 178 warganegara dan14 bukan warganegara, sementara 2,705 lagi jangkitan tempatan.

"Sebanyak 3,434 kes sembuh sehingga tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 2,673,084 jangkitan," katanya.

Katanya, seramai 302 pesakit memerlukan rawatan di unit rawatan rapi, 169 memerlukan bantuan pernafasan.

"Setakat ini terdapat pertambahan empat kluster baharu menjadikan jumlah kluster di negara ini sebanyak 6,114 kluster dengan 226 daripadanya masih aktif," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kadar kebolehjangkitan (Rt) negara ialah 0.93 dengan Terengganu satu-satunya merekodkan nilai Rt 1.00, manakala Sarawak mencatatkan nilai Rt paling rendah iaitu 0.71.

Katanya, lima negeri pula mencatatkan nilai Rt di atas 0.90 iaitu Johor (0.97); Perak dan Pulau Pinang (0.94), Kedah (0.93), Kelantan (0.92) dan Negeri Sembilan (0.91).

"Perlis pula mencatatkan Rt 0.90, diikuti Pahang dan Melaka masing-masing 0.87, Sabah (0.84), dan Labuan 0.74.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

Katanya, KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung.

Maklumat lebih lanjut dan kemas kini mengenai info bencana banjir, layari laman sesawang https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index

Berita Harian X