Selasa, 28 Disember 2021 | 6:36pm
Anggota ATM membantu menghantar bantuan makanan menggunakan bot selepas penduduk terputus hubungan berikutan jambatan yang menghubungkan kampung itu runtuh di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Anggota ATM membantu menghantar bantuan makanan menggunakan bot selepas penduduk terputus hubungan berikutan jambatan yang menghubungkan kampung itu runtuh di Kampung Bemban, Simpang Durian, Jelebu. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

5,000 penjawat awam diatur gerak misi pasca banjir

KUALA LUMPUR: Seramai 5,000 penjawat awam akan digerakkan bagi membantu misi pasca banjir secara berperingkat mengikut penggiliran masing-masing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata inisiatif terbabit selaras dengan kenyataan Ketua Setiausaha Negara yang memutuskan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyelaras usaha mobilisasi penjawat awam bagi membantu kerja pembersihan dan kemanusiaan.

Katanya, berdasarkan surat edaran dikeluarkan JPA, pegawai yang terbabit dengan arahan mobilisasi itu adalah dianggap menjalankan tugas rasmi.

"Selaras dengan keputusan itu, kementerian akan menentukan dan mengarahkan pegawai di agensi masing-masing untuk membantu melaksanakan tugas pasca banjir berdasarkan kawasan yang ditetapkan.

"Arahan ini berkuat kuasa serta-merta. Ia juga dilaksana berdasarkan kawasan yang terjejas teruk bagi tempoh masa tertentu bertujuan meringankan kepayahan yang dihadapi oleh mangsa banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang sukarelawan mengemas dan membersih kawasan di sekitar Kampung Chennah yang terjejas selepas banjir surut. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Seorang sukarelawan mengemas dan membersih kawasan di sekitar Kampung Chennah yang terjejas selepas banjir surut. - Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Semalam, mesyuarat pertama Petugas Khas Pengurusan Pascabanjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Banjir yang dipengerusikan Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, memutuskan setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan menerima kawasan terjejas banjir untuk dijadikan kawasan angkat.

Pembahagian kawasan angkat terjejas banjir itu akan diselaraskan JPA yang turut mengatur gerak usaha mobilisasi anggota perkhidmatan awam bagi membantu kerja pembersihan dan kemanusiaan.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Adib berkata, gerak kerja membantu mangsa banjir di lapangan sudah dilaksanakan di peringkat kementerian, jabatan dan agensi di beberapa kawasan yang terjejas dan ia masih diteruskan.

Bagaimanapun katanya, usaha kali ini akan lebih memfokuskan kepada aspek lebih menyeluruh dan bersasar serta ia digerakkan oleh Pejabat Daerah, bagi memastikan mereka yang terbabit dapat diberikan bantuan pasca banjir daripada aspek bantuan pembersihan rumah.

"Mobilisasi anggota perkhidmatan awam adalah inisiatif serta tanggungjawab sosial penjawat awam bersama rakyat selari dengan semangat Keluarga Malaysia.

"Misi utama adalah untuk membantu rakyat yang terkesan akibat bencana banjir yang dihadapi baru-baru ini. Inisiatif yang dilaksanakan ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan sedia ada di kementerian, jabatan serta agensi," katanya.

Berita Harian X