Selasa, 28 Disember 2021 | 5:42pm

'Tiada dibangkitkan mengenai salah laku Azam Baki'

Kuala Lumpur: Dua e-mel yang dihantar Pensyarah Ekonomi, Prof Dr Edmund Terence Gomez yang baharu meletak jawatan sebagai anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) adalah meminta diadakan mesyuarat bagi membincangkan usaha memulihkan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, Pengerusi PPPR, Tan Sri Borhan Dolah, berkata dua e-mel berkenaan yang dihantar sejak November lalu tiada langsung memperkatakan mengenai isu salah laku Ketua Pesuruhjaya (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Tan Sri Borhan Dolah. - Foto fail NSTP
Tan Sri Borhan Dolah. - Foto fail NSTP

Dalam e-mel berkenaan, ahli ekonomi itu menyatakan kebimbangannya mengenai SPRM yang sering dihentam pelbagai pihak dan meminta mesyuarat PPPR segera dibuat bagi membincangkan cara untuk mereka menyokong agensi penguatkuasa itu.

"Saya membalas mengatakan akan mempertimbangkan dahulu perkara itu malah terus berhubung dengan urusetia SPRM untuk mendapat pandangan kerana isu ini di luar bidang kuasa PPPR.

"Tiba-tiba dia meletak jawatan dan membangkitkan isu itu seolah-olah komuniti saya (panel PPPR) tidak ambil kisah mengenai dakwaan salah laku KP SPRM, sedangkan dia membangkitkan perkara lain untuk diadakan mesyuarat dan tidak menyentuh isu yang didakwanya ketika meletak jawatan," katanya kepada BH, semalam.

Tan Sri Azam Baki. - Foto fail NSTP
Tan Sri Azam Baki. - Foto fail NSTP

Edmund Terence dilaporkan meletak jawatan sebagai ahli panel PPPR kerana mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Beliau dalam surat perletakan jawatannya berkata timbul persoalan berhubung 'hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa', dan situasi 'konflik kepentingan' membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan pemilikan saham.

Edmund Terence Gomez. - Foto emel
Edmund Terence Gomez. - Foto emel

Mengulas lanjut, Borhan yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkata, Edmund Terence sepatutnya faham mengenai tugas dan penubuhan PPPR iaitu sebuah jawatankuasa yang merunding serta mencadangkan bersama SPRM untuk dilaksanakan program komuniti untuk kesedaran benci rasuah.

Justeru, katanya, Edmund Terence sepatutnya melaporkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman sekiranya mendapati salah laku dilakukan Azam dan tidak meminta PPPR mengambil tindakan, yang jelas bukan dibawah bidang kuasa mereka.

"Malah selain PPPR, ada beberapa lagi mekanisme bertanggungjawab diwujudkan yang bertindak sebagai 'check and balance' SPRM seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dipengerusi oleh Tan Sri Abu Zahar Ujang serta Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR)," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair, Ulya Aqamah Husamudin dalam kenyataan berkata, parti itu mendesak supaya Azam Baki direhatkan bagi membolehkan siasatan dakwaan salah laku terhadap beliau dibuat.

"Inilah satu-satunya cara bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap organisasi itu sekali gus menunjukan bahawa wujudnya sistem semak dan imbang yang baik dalam organisasi kerajaan," katanya.

Berita Harian X