Selasa, 28 Disember 2021 | 1:25pm
Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For COVID-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar (kiri) dan Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.
Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For COVID-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar (kiri) dan Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.

Wajibkan jemaah umrah jalani kuarantin di pusat kuarantin

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewajibkan jemaah umrah yang pulang ke tanah air menjalani kuarantin di pusat kuarantin ditetapkan, bukan di kediaman masing-masing.

Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For COVID-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi jemaah umrah itu perlu diketatkan bagi mengelak penularan varian Omicron.

"Bagi saya, kerajaan tak perlu tangguh ibadah umrah namun SOP perlu diketatkan...boleh pergi tunai umrah namun individu yang pulang perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari diikuti dengan ujian COVID-19 secara berkala.

"Mereka yang menjalani kuarantin pula, perlu ditempatkan di pusat kurantin, bukan di rumah kerana kita sedia maklum walaupun kuarantin di rumah, ramai saudara-mara serta jiran akan datang melawat di rumah kononnya nak ambil berkat dan sebagainya," katanya kepada BH, hari ini.

Dr Zainal Ariffin yang juga pakar kesihatan awam berkata, biarpun kerajaan mewajibkan individu terbabit memakai gelang pengesan digital, risiko penyebaran virus itu tetap ada.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata kerajaan seharusnya mencadangkan kepada Arab Saudi supaya menjalankan pemeriksaan ujian analisis genom bagi mengesan varian Omicron kepada setiap individu yang memasuki negara mereka.

Jelasnya, analisis genom itu berbeza dengan ujian COVID-19 kerana ia khusus untuk mengesan varian berkenaan.

"Bagi saya tiada masalah nak pergi umrah cuma apabila sampai di sana (Arab Saudi), setiap pengunjung harus menjalani ujian analisis genom supaya dapat mengesan virus itu dengan lebih tepat.

"Apabila pulang ke tanah air, jemaah umrah ini perlu menjalani kuarantin wajib tetapi bukan di rumah sebaliknya di pusat kuarantin Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Dalam pada itu, Dr Sharifa Ezat berkata, biarpun ramai pakar berpandangan varian Omicron tidak berbahaya berbanding Delta, risiko kesihatan tetap ada terutama kepada golongan yang belum lengkap divaksin.

"Biarpun ramai pakar berpandangan Omicron tidak begitu berbahaya berbanding varian seperti Delta, kita tetap perlu berjaga-jaga kerana kita masih belum tahu kesannya kepada golongan berisiko.

"Kalau boleh kita tidak mahu langsung varian ini menjangkiti dan tersebar kerana risiko itu tetap ada," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini dilaporkan berkata, individu yang pulang selepas menunaikan umrah wajib memakai gelang pengesan digital dan menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari.

Beliau berkata, arahan itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 varian baharu, Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Disember lalu adalah kes import dari Arab Saudi.

Berita Harian X