Selasa, 28 Disember 2021 | 1:19pm

Serba Dinamik, 3 pegawai syarikat hadapi tuduhan menipu

KUALA LUMPUR: Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu, Serba Dinamik Holdings Berhad bersama pengarah dan dua pegawai kanannya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Syarikat itu bersama Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41; Pengawal Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi, 39; dan Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman, 37, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dikenakan.

Serba Dinamik selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Abu Bakar Uzair, manakala Syed Nazim, Azhan serta Muhammad Hafiz selaku tertuduh, didakwa dengan niat untuk menipu, mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung di dalam "Serba Dinamik Holdings Berhad's Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020."

Kesalahan itu dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad di Bukit Kewangan di sini, pada 26 Februari lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 369(a)(B) yang dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 369 Akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM3 juta jika disabitkan kesalahan.

Serba Dinamik selaku OKS yang diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebasnya, Abu Bakar Uzair, mengaku tidak bersalah dalam prosiding di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Datin Sabariah Othman Hakim memerintahkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing dijamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mereka juga diperintah melapor diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Hashley Tajudin dan Zulaida Zulkifli manakala Serba Dinamik dan semua tertuduh diwakili peguam bela, L K Mak.

Kedua-dua mahkamah menetapkan pada 27 Januari depan bagi pengurusan kes.

Berita Harian X