Isnin, 27 Disember 2021 | 5:40pm
 Keadaan kondominium Sri Duta 1 yang tidak selamat didiami sekarang.
Keadaan kondominium Sri Duta 1 yang tidak selamat didiami sekarang.

Kondominium Sri Duta 1 bermasalah, berisiko didiami

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) serta perunding dilantik pemaju mengesahkan struktur bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, di sini, bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan, hari ini berkata, ia berikutan terdapat tanda berlaku pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

"Antara tanda itu adalah column (tiang) dengan dinding yang terpisah, rekahan permukaan akibat ketegangan di beberapa permukaan tanah dan keretakan di bawah lantai.

"Tanda ini menunjukkan keadaan di kawasan itu tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL berkata, terdapat empat blok yang terkesan membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni dinasihatkan berpindah atas faktor keselamatan.

"Pihak Badan Pengurusan Bersama sudah mengosongkan unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awal bagi menghalang hakisan berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

"Kerja kerja pemulihan cerun dan bangunan dalam kawasan pemaju akan dilakukan segera dan disemak DBKL serta IKRAM," katanya.

Katanya, pada masa sama, IKRAM juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.

Pada 18 Disember lalu, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang.- BERNAMA

Berita Harian X