Ahad, 26 Disember 2021 | 8:31pm
Foto hiasan
Foto hiasan

418 mangsa banjir dijangkiti COVID-19, 1 kes dikesan di PPS

KUALA LUMPUR: Seramai 418 mangsa banjir disahkan positif COVID-19 dan satu kes jangkitan direkodkan di pusat pemindahan sementara (PPS), sehingga petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 193 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir dengan paling tinggi membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut iaitu 94 kes.

"Turut direkodkan ialah 67 kes penyakit kulit, 30 gejala acute gastroenteritis (AGE) dan masing-masing satu kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta konjunktivitis," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehingga petang tadi, sebanyak 35,076 mangsa banjir masih terjejas yang ditempatkan di 219 PPS membabitkan lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes COVID-19 kembali merekodkan penurunan bawah 3,000 kes apabila sebanyak 2,778 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan adalah sebanyak 2,741,179 sehingga kini.

Beliau berkata, daripada 2,778 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, hanya 60 kes atau 2.2 peratus berada pada kategori tiga, empat dan lima manakala 2,718 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Kes sembuh yang direkodkan ialah sebanyak 3,539 dengan jumlah kluster masih aktif ialah 218 termasuk dua kluster baharu.

"Jangkitan baharu membabitkan 2,649 penularan tempatan dan baki 129 kes import dengan 306 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

"Sebanyak 170 kes pula memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara ialah 0.88 dengan Terengganu satu-satunya merekodkan nilai Rt 1.00 manakala Sarawak mencatatkan nilai Rt paling rendah iaitu 0.71.

Katanya, lima negeri pula mencatatkan nilai Rt di atas 0.90 iaitu Johor (0.95); Perak (0.94); Pulau Pinang (0.93), Kelantan (0.92) dan Putrajaya (0.91).

"Lapan negeri pula merekodkan bacaan Rt di atas 0.80 iaitu masing-masing 0.89 di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan; Kedah (0.88).

"Perlis dan Pahang masing-masing merekodkan nilai Rt 0.87; Melaka (0.84); dan Sabah (0.81)," katanya.

Beliau berkata, selain Sarawak yang merekodkan nilai Rt bawah 0.80, Labuan turut mencatatkan bacaan Rt lebih rendah daripada paras nasional iaitu 0.76.

Berita Harian X