KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, ialah antara individu yang menganggotai pasukan petugas khas pascabanjir.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, melalui hantaran dalam Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju untuk mewujudkan pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyelaraskan pengurusan pascabanjir dan persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir, dengan dipengerusikan oleh Mohd Zuki.
"Selaras pengumuman Perdana Menteri sebentar tadi, sebuah pasukan 'task force' ditubuh bagi memastikan pengurusan pascabanjir dan kesiapsiagaan menghadapi gelombang kedua banjir, yang lebih responsif serta efektif berdasarkan maklumat tepat dan terkini," katanya.
Selain itu, pasukan berkenaan turut dianggotai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, serta Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Pengarah agensi kerajaan.
Perdana Menteri mengumumkan perkara itu selepas meninjau kawasan terjejas banjir dan aktiviti gotong-royong di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua, Hulu Langat, oleh sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta anggota pasukan keselamatan. – BERNAMA