Ahad, 26 Disember 2021 | 6:15pm
Pemandangan melalui udara keadaan paras air sungai Golok di Rantau Panjang (kiri) menunjukkan trend menurun setelah beberapa hari paras air meningkat sehingga paras bahaya. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pemandangan melalui udara keadaan paras air sungai Golok di Rantau Panjang (kiri) menunjukkan trend menurun setelah beberapa hari paras air meningkat sehingga paras bahaya. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Hentikan polemik politik

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mewujudkan satu garis panduan jelas mengenai bidang dan punca kuasa serta rantaian arahan kepada umum atau badan profesional termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan pengurusan bencana pada masa depan.

Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin, berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya selepas seminggu bencana banjir melanda beberapa negeri termasuk di Selangor dan Lembah Klang, isu pengurusan bencana itu masih membawa kepada permasalahan sama seperti insiden sebelum ini.

Katanya, antara yang tular di media sosial adalah isu kesiapsiagaan, penyelarasan dan koordinasi pada peringkat kerajaan, sama ada operasi penyelamatan hingga bantuan pasca banjir.

"Berdasarkan laporan media juga, terdapat ketidakselarasan komunikasi dan fungsi di peringkat kerajaan, termasuk terlalu banyak pihak menyalahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Pakar meteorologi juga menyatakan bahawa walaupun perkhidmatan kaji cuaca memberi amaran kepada kerajaan mengenai jangkaan hujan lebat berterusan, NADMA, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) gagal memberi amaran lebih awal kepada penduduk Lembah Klang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, impak daripada kelemahan yang berlaku ketika ini perlu diambil perhatian kerajaan.

Katanya, lambakan NGO yang terlebih dahulu hadir dalam menyalurkan bantuan mencerminkan seolah-olah agensi di bawah kementerian gagal menguruskan bencana sepenuhnya.

"Latihan asas bencana dan langkah mengurangkan risiko perlu dibuat lebih meluas di kawasan risiko banjir secara kerap bersama komuniti setempat agar masyarakat didedahkan dengan pengetahuan, pemahaman serta kesiapsiagaan mantap apabila berdepan bencana.

"Penduduk perlu didedahkan dengan keperluan semasa bencana dan bagaimana proses pemindahan dijalankan bagi memudahkan semua pihak," katanya.

Shawaludin berkata, MSOSH berharap polemik politik dapat dihentikan, seterusnya memberi fokus bantuan kepada rakyat.

"Sebagai sebuah badan yang menitikberatkan keselamatan umum, MSOSH menggesa semua pihak dapat tingkatkan kerjasama baik dalam usaha memastikan mangsa banjir boleh kembali hidup seperti biasa," katanya.

Berita Harian X