Ahad, 26 Disember 2021 | 4:40pm
Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menawarkan pembiayaan peribadi tanpa faedah MyRinggit-i Banjir hingga RM10,000 berbanding RM5,000 yang diumumkan pada minggu lepas kepada mangsa banjir. - Foto hiasan NSTP
Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menawarkan pembiayaan peribadi tanpa faedah MyRinggit-i Banjir hingga RM10,000 berbanding RM5,000 yang diumumkan pada minggu lepas kepada mangsa banjir. - Foto hiasan NSTP

BSN sedia pembiayaan peribadi tanpa faedah hingga RM10,000

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menawarkan pembiayaan peribadi tanpa faedah MyRinggit-i Banjir hingga RM10,000 berbanding RM5,000 yang diumumkan pada minggu lepas kepada mangsa banjir.

"RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir untuk membeli peralatan dan kelengkapan rumah baharu bagi menggantikan yang telah musnah akibat bencana," kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembiayaan itu adalah dengan moratorium bayaran balik selama enam bulan dan selanjutnya bayaran balik dalam tempoh hingga 3.5 tahun.

Pemohon boleh memohon mulai 27 Disember ini melalui https://www.bsn.com.my.

Sementara itu, BSN dalam kenyataan berasingan pula menjelaskan MyRinggit-i Banjir terbuka kepada semua mangsa banjir di selurun negara.

"Mangsa banjir boleh memohon dengan melengkapkan borang permohonan dalam talian melalu laman web rasmi BSN - www.bsn.com.my.

"Bagi pemohon yang mempunyai masalah atau tidak mempunyai akses untuk ke laman web berkenaan, sila kunjungi Cawangan BSN berdekatan bagi membuat permohonan," menurut BSN.

Dokumen yang diperlukan bagi permohonan tersebut ialah salinan kad pengenalan, salinan bil elektrik rumah yang terjejas dan surat pengesahan daripada pegawai daerah/JKKK/laporan polis berkenaan rumah yang terjejas.

BSN menambah, pihaknya akan memaklum'an status permohonan melalui SMS. Pemohon boleh menyemak status permohonan dari semasa ke semasa melalui laman web rasmi BSN.

Layari www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900 untuk maklumat lanjut.

Inisiatif melalui BSN ini telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Disember lalu sebagai inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir.

Beliau juga mengumumkan bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi hingga enam bulan.

Antara kemudahan itu termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran.

Selain BSN, Ismail Sabri juga berkata TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan.

"Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X