Ahad, 26 Disember 2021 | 3:55pm
Bantuan bencana BNM dinaikkan kepada RM500 juta bagi PMKS. - Foto fail NSTP
Bantuan bencana BNM dinaikkan kepada RM500 juta bagi PMKS. - Foto fail NSTP

Bantuan bencana BNM dinaikkan kepada RM500 juta bagi PMKS

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) pada Ahad mengulangi beberapa peruntukan dan langkah tambahan yang telah diambil oleh kerajaan bagi menangani bencana banjir, termasuk peningkatan dana kepada RM500 juta daripada RM200 juta bagi Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) 2022 oleh Bank Negara Malaysia.

Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata DRF akan disediakan melalui bank komersial untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi membiayai penggantian peralatan yang rosak akibat banjir serta modal kerja.

"Pembiayaan hingga RM500,000 akan disediakan untuk PKS; manakala usahawan mikro boleh meminjam sehingga RM75,000. Tempoh pembiayaan adalah hingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kadar pembiayaan adalah hingga 3.5 peratus setahun termasuk kos jaminan.

Permohonan boleh dibuat melalui bank komersial mulai 27 Disember ini.

"Kerajaan akan terus memantau keadaan dan MoF khususnya akan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu mangsa banjir secepat mungkin," katanya.

Peningkatan dana DRF telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Disember lalu, sebagai inisiatif bantuan ringankan beban mangsa banjir. – BERNAMA

Berita Harian X