Ahad, 26 Disember 2021 | 3:02pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Seorang jemaah umrah dari Melaka dijangkiti Omicron

AYER KEROH: Seorang wanita berusia 34 tahun menjadi individu pertama dari negeri ini yang dijangkiti varian Omicron.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jangkitan direkodkan selepas wanita berkenaan pulang daripada mengerjakan umrah, baru-baru ini.

Beliau berkata, kes pertama varian itu dikesan selepas pengesahan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) pada 25 Disember lalu menerusi ujian jujukan genom PCR (Genotyping Assay) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap wanita berkenaan.

"Wanita terbabit pulang dari Arab Saudi dari Jeddah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz dengan menaiki pesawat Saudi Airlines (Flight SV3842) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Disember lalu, jam 9.50 malam.

"Ujian swab PCR COVID-19 dilakukan di KLIA ketika ketibaannya sebelum bergerak pulang ke Melaka menaiki van persiaran sewaan khas ejen umrah," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal, berkata wanita itu disahkan positif COVID-19 varian Omicron semalam dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Melaka untuk tujuan pemantauan rapi.

Susulan itu, katanya, wanita terbabit dirujuk ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Bukit Serindit, di sini dan dibenarkan untuk menjalani isolasi di rumah kerana dia berstatus kategori satu (tidak bergejala) dan dalam keadaan stabil.

"Hasil siasatan awal mendapati terdapat sembilan kontak rapat iaitu lapan dalam kalangan ahli keluarganya, masing-masing enam berada di Melaka dan dua di Kuala Lumpur yang mengerjakan umrah bersamanya tempoh hari," katanya.

Dalam pada itu, seorang kontak kasual turut dikesan iaitu pemandu van ejen umrah berkenaan.

Dr Muhamad Akmal berkata, semua kontak rapat terbabit sudah diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama 14 hari dan ujian swab PCR.

Katanya, JKN Melaka masih menjalankan siasatan terperinci terhadap kes varian Omicron yang mula dikesan di negeri ini.

"Siasatan terhadap kontak rapat wanita itu, termasuk jemaah umrah yang mengerjakan ibadah itu bersama juga masih diteruskan," katanya.

Justeru, orang ramai diminta supaya merujuk kepada kenyataan rasmi KKM dan JKN Melaka untuk sebarang berita perkembangan kes Omicron.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan 30 daripada 49 kes COVID-19 varian Omicron di Malaysia membabitkan individu yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Beliau dilaporkan berkata, kebanyakan mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalani kuarantin di rumah.

Katanya, ada dalam kalangan jemaah umrah yang menerima tetamu di rumah sekali gus menyebabkan penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga dan jiran.

Berita Harian X