Ahad, 26 Disember 2021 | 2:14pm
JPS meramalkan risiko banjir pada 30 dan 31 Disember ini beberapa kawasan Kelantan termasuk Gua Musang dan Kuala Krai serta Dungun di Terengganu. - Foto hiasan NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
JPS meramalkan risiko banjir pada 30 dan 31 Disember ini beberapa kawasan Kelantan termasuk Gua Musang dan Kuala Krai serta Dungun di Terengganu. - Foto hiasan NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Kelantan, Terengganu diramal banjir Khamis, Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kemungkinan berlaku banjir di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula 30 hingga 31 Disember ini.

JPS dalam kenyataan malam tadi memaklumkan kemungkinan itu dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Disember hingga akhir tahun ini.

Menurut kenyataan itu risiko banjir diramal di Kelantan antara jam 8 malam (30 Disember) dan 8 pagi keesokan harinya membabitkan jajahan Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan sekitarnya berikutan jangkaan kenaikan aras air melepasi paras bahaya di Sungai Galas di Limau Kasturi dan Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Pada tempoh sama, ramalan risiko berkenaan turut membabitkan daerah Dungun dan kawasan sekitarnya di Terengganu ekoran aras air di Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja juga dijangka naik melepasi aras bahaya.

Justeru, JPS mengingatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – BERNAMA

Berita Harian X