Ahad, 26 Disember 2021 | 1:02pm
Foto AFP
Foto AFP

2 kes Omicron dikesan di Johor

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengesan dua kes positif COVID-19 yang dijangkiti Omicron dilaporkan semalam, dalam kalangan jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata kedua-dua kes adalah sepasang suami isteri yang pergi menunaikan umrah pada 4 Disember lalu dan pulang ke Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember lalu.

Katanya, ujian saringan reaksi rantai polimerase (PCR) di Pintu Masuk Antarabangsa yang dijalankan pada 16 Disember lalu dan dikesan positif pada 18 Disember lalu.

"Kini kedua-duanya sedang menjalani isolasi di rumah di Johor Bahru, selain kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes sudah dikenal pasti dan diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah.

"Sampel PCR kemudiannya dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom dan keputusan kemudiannya didapati positif Omicron.

"Susulan perkembangan terbaru ini, rakyat Johor yang pulang dari luar negara khususnya dari umrah dinasihatkan untuk mematuhi arahan kuarantin wajib yang diberikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, walaupun sebahagian besar dari rakyat Johor sudah menerima vaksin, orang ramai diminta sentiasa berwaspada dengan mengamalkan kawalan kesihatan kendiri.

Selain itu, seorang wanita berusia 34 tahun menjadi individu pertama di Melaka yang dijangkiti varian Omicron.

Pengerusi Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jangkitan direkodkan selepas wanita berkenaan pulang daripada mengerjakan umrah, baru-baru ini.

Beliau berkata, kes pertama varian itu dikesan selepas pengesahan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, menerusi ujian saringan PCR yang dijalankan IMR terhadap wanita terbabit.

Dr Muhamad Akmal berkata, wanita itu disahkan positif COVID-19 varian Omicron semalam dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Melaka untuk pemantauan rapi.

Semalam, KKM mengesahkan mengesan 49 lagi kes positif COVID-19 yang dijangkiti varian membimbangkan (VOC) Omicron, dengan satu daripadanya berkemungkinan daripada penularan tempatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata penularan tempatan itu dikesan di Sarawak membabitkan lelaki warganegara China yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan sudah bekerja di negeri berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Dengan keputusan baharu itu, Khairy berkata jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di negara ini adalah berjumlah 62 kes.

Berita Harian X