Sabtu, 25 Disember 2021 | 8:24pm
Penduduk orang asli Kampung Paya Lebar, Hulu Langat yang terkesan dengan bencana banjir menerima rawatan kesihatan daripada Pasukan kesihatan bergerak Hospital Orang Asli Gombak ketika tinjauan di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad
Penduduk orang asli Kampung Paya Lebar, Hulu Langat yang terkesan dengan bencana banjir menerima rawatan kesihatan daripada Pasukan kesihatan bergerak Hospital Orang Asli Gombak ketika tinjauan di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat. - Foto hiasan NSTP/Aizuddin Saad

KPWKM nafi JKM tak bantu mangsa banjir Orang Asli

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyangkal tuduhan sebuah portal berita yang mendakwa menterinya, Datuk Seri Rina Harun mengabaikan mangsa banjir di Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Selangor.

KPWKM dalam kenyataan malam ini berkata, penempatan dan pengurusan mangsa banjir di kawasan berkenaan, awalnya diuruskan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadom.

Bagaimanapun, katanya, PPS berkenaan dinaiki air dan pusat kawalan operasi bencana (PKOB) menasihatkan dan meminta mangsa berpindah ke PPS SK Labohan Dagang untuk keselamatan.

Kenyataan itu berkata, PKOB akur dengan keputusan penduduk Orang Asli untuk tidak berpindah ke PPS disediakan, sebaliknya meminta kekal berada di sekitar kampung.

"Susulan itu, Tadom Resort Hill telah menyediakan khemah bagi penempatan sementara mereka selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menguruskan pendaftaran mangsa.

"Segala keperluan asas terus disalurkan JKM kepada mangsa dengan sokongan dan kerjasama pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.

"JKM Daerah Kuala Langat juga mengagihkan bantuan seperti bekalan makanan dan barangan keperluan asas dan lain-lain seperti di PPS lain," katanya.

Semalam, portal berita berkenaan mendakwa, kira-kira 500 Orang Asli Suku Temuan di Bukit Tadom meminta bantuan daripada NGO tempatan dan JAKOA selepas mereka mendakwa dinafikan bantuan banjir daripada JKM.

Kenyataan itu berkata, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa sempat meluangkan masa mendekati sendiri PPS dan menyerahkan bantuan kepada mangsa, pada Rabu lalu.

Selain itu, katanya, Timbalan Ketua Pengarah JKM, Rosmahwati Ishak turut menyampaikan sumbangan kepada Tok Batin Hadi Jembik untuk diagihkan, Khamis lalu.

"Dalam situasi banjir cukup mencabar ini, JKM sentiasa memahami keperluan Keluarga Malaysia termasuk Orang Asli yang juga merupakan Keluarga Malaysia.

"JKM tidak pernah pilih kasih ataupun tidak adil dalam berdepan situasi getir seperti ini serta sentiasa bekerjasama rapat dengan JAKOA untuk menangani permasalahan Orang Asli," katanya.

Berita Harian X