Sabtu, 25 Disember 2021 | 6:42pm
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SMK Abdul Rahman Talib, Teluk Intan. - Foto UPSI
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SMK Abdul Rahman Talib, Teluk Intan. - Foto UPSI

UPSI gerak sukarelawan bantu mangsa banjir

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan sukarelawan menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Teluk Intan dan Kuala Selangor.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata UPSI mula menggerakkan ResQ Team sejak tujuh hari lalu membabitkan kakitangan dan pelajarnya, bermula di kawasan Lembah Klang bersama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bersyukur usaha itu turut mendapat perhatian dan sokongan terutama masyarakat dan warga universiti yang sentiasa bersiap siaga dalam membantu mangsa banjir kali ini, beliau mengalu-alukan sumbangan kewangan, barangan dan tenaga manusia dalam kerja-kerja pembersihan bagi membantu mangsa bencana.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin, berkata kumpulan pertama sukarelawan universiti itu bergerak ke Shah Alam, diikuti Bentong, Jeram, Kuala Slim, Hulu Langat dan kini Teluk Intan serta Kuala Selangor.

"Pasukan ResQ UPSI yang lengkap dengan pelbagai peralatan bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dan membersihkan rumah atau mana-mana kawasan terjejas teruk selepas banjir, sentiasa bergerak," katanya.

Katanya, hasil sumbangan pelbagai pihaknya, pasukan berkenaan mengagihkan 50 pakej bantuan di PPS SMART, Kampung Glouster, Changkat Jong dan Stor Bencana Pusat Pejabat Kebajikan Hilir Perak, Teluk Intan.

"ResQ Team menerima sumbangan pek makanan bernilai RM10,000 daripada Mydin USJ hasil usaha Ahli Lembaga Pengarah universiti, Datuk Seri Ahmad Burak. Anggota kami terus bergegas membawa 650 pek barangan sumbangan itu ke Kuala Selangor untuk diedarkan terus kepada mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata, selain alumni UPSI, alumni era Sultan Idris Training College (SITC)-Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) serta Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) turut menggerakkan misi dan proses pengumpulan dana untuk disampaikan kepada alumni yang terjejas teruk akibat bencana itu.

Berita Harian X