Sabtu, 25 Disember 2021 | 5:37pm

3,160 jangkitan baharu hari ini

PUTRAJAYA: Sejumlah 3,160 kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan hingga kini sebanyak 2,738,401 individu di negara ini sudah dijangkiti virus berkenaan.

Daripada jumlah berkenaan, Dr Noor Hisham berkata 3,004 dikesan dalam penularan tempatan dengan 156 kes adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Kes yang dikesan itu membabitkan 3,094 pesakit COVID-19 dalam Kategori Satu dan Dua iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan.

"Selebihnya iaitu 66 kes atau 1.2 peratus adalah pesakit COVID-19 dalam Kategori Tiga hingga Lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhannya, Dr Noor Hisham berkata daripda jumlah kes aktif di negara ini, terdapat 324 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 253 kes disahkan COVID-19 serta 71 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, hingga kini terdapat 175 kes iaitu 107 daripadanya disahkan COVID-19 serta 68 kes adalah disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi COVID-19 di negara ini, Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya mengesan tiga kluster baharu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kluster yang dikesan di negara ini adalah 6,101 kluster. Hingga kini terdapat 223 kluster yang masih aktif.

Mengenai kes sembuh yang dilaporkan, Dr Noor Hisham berkata setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 4,421 kes dicatat menjadikan hingga kini sebanyak 2,661,495 individu sudah pulih sepenuhnya.

Mengenai situasi banjir, Dr Noor Hisham memaklumkan, setakat 3 petang tadi terdapat empat lagi kes positif COVID-19 membabitkan mangsa banjir dan menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 409 kes.

"Bagaimanapun tiada kes positif membabitkan kes di pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan setakat ini.

"Turut dilaporkan ialah terdapat 185 kes penyakit berjangkit dalam kalangan mangsa banjir yang merangkumi 103 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit (52), Acute Gastroenteritis (AGE) (22) dan konjunktivitis (lapan)," katanya.

Sementara itu, hingga kini seramai 22,834,352 individu atau 97.5 peratus populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman COVIDNOW, sebanyak 23,134,179 individu atau 98.8 peratus daripada golongan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 87.2 peratus atau 2,744,559 telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,839,606 atau 90.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Berita Harian X