X
Sabtu, 25 Disember 2021 | 12:34pm
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun. Foto fail BERNAMA
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun. Foto fail BERNAMA
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (duduk), bersama sukarelawan membantu membersihkan pinggan mangkuk yang tercemar kotoran berikutan banjir di rumah mangsa di Kampung Jawa, Hulu Langat. NSTP/Foto ihsan Helmi Hamid.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (duduk), bersama sukarelawan membantu membersihkan pinggan mangkuk yang tercemar kotoran berikutan banjir di rumah mangsa di Kampung Jawa, Hulu Langat. NSTP/Foto ihsan Helmi Hamid.

JKM selaras data, percepat salur bantuan tunai

HULU LANGAT: Pengumpulan data mangsa banjir di seluruh negara sedang dipergiatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan penyaluran bantuan sampai ke golongan sasar secepat mungkin.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata pengumpulan data penting untuk penyelarasan di setiap daerah, menerusi jawatankuasa pengerusi bencana yang terdiri daripada pegawai daerah (DO).

Katanya, data yang dikumpulkan oleh JKM sama ada mencakupi mangsa banjir yang terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara atau kediaman masing-masing, kemudian akan dikemukakan kepada pengurusan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Kita nak segerakan bantuan RM1,000 yang sepatutnya diberikan kepada setiap ketua isi rumah, tetapi pada masa sama, ia perlu diagihkan kepada semua.

"Hal ini kerana kita tidak mahu nanti ada yang tercicir daripada mendapat bantuan kewangan dan perkara sebegini harus dielakkan," katanya ketika ditemui media, hari ini.

Terdahulu, Rina yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hadir membantu bersama kira-kira 300 sukarelawan untuk melaksanakan kerja pembersihan rumah di Kampung Jawa, Hulu Langat, di sini.

Operasi pembersihan yang mula dilaksanakan sejak jam 10 pagi itu antara lain dilaksanakan menerusi khidmat empat jengkaut dan tujuh lori, bagi membantu mengeluarkan barang buangan dari kawasan kediaman penduduk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Rabu lalu, mengarahkan supaya bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah yang terkesan dengan banjir di seluruh negara untuk dipercepatkan.

Menerusi tinjauan dan maklum balas penduduk, Rina berkata, proses pembuangan sampah dan barangan yang rosak akibat banjir perlu disegerakan bagi mengelak risiko penyebaran penyakit.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk segera menghantar lori atau 'roro bin' (tong sampah besar mudah alih) bagi tujuan mengangkut sisa buangan.

"Diharapkan majlis perbandaran dan agensi berkaitan untuk bantu angkat sampah dengan segera sebab mereka sudah bersihkan rumah masing-masing dan banyak barang yang dilonggok di luar.

"Jika tidak diangkat dengan segera, akan menyebabkan barang itu mula berbau dan kita tidak mahu timbul pula kes penyakit selepas ini," katanya.

Berita Harian X