Sabtu, 25 Disember 2021 | 11:08am
Ikan patin dalam sangkar yang diusahakan Mohd Ghazali, ditemui mati dipercayai akibat air sungai berlumpur susulan banjir. - NSTP/ROSELAN AB MALEK
Ikan patin dalam sangkar yang diusahakan Mohd Ghazali, ditemui mati dipercayai akibat air sungai berlumpur susulan banjir. - NSTP/ROSELAN AB MALEK

Penternak ikan patin rugi RM10,000

JERANTUT: Seorang penternak ikan patin dalam sangkar di Kampung Kuala Teh, dekat sini, mengalami kerugian kira-kira RM10,000 apabila haiwan itu mati dipercayai akibat air sungai berlumpur susulan banjir.

Mohd Ghazali Ismail, 61, berkata terdapat kira-kira 1,500 hingga 2,000 ikan patin diternak dalam dua sangkar di Sungai Pahang itu.

"Ikan berkenaan sudah boleh dijual dalam seminggu dua lagi dengan kebanyakannya mencecah berat 900 gram hingga 1.2 kilogram seekor.

"Namun ketika saya mahu membetulkan tali sangkar kerana air sungai semakin surut, pagi tadi, saya terkejut apabila mendapati semua ikan di dalamnya sudah mati.

"Saya mendapati badan haiwan itu diliputi lumpur. Ikan berkenaan dipercayai mati kerana air sungai terlampau berlumpur dan berkemungkinan tidak dapat bernafas.

"Walaupun banjir, setiap hari saya akan meninjau sangkar agar selamat. Namun, tidak sangka pula ikan mati akibat air sungai berlumpur," katanya yang mengusahakan penternakan ikan dalam sangkar sejak lapan tahun lalu.

Mohd Ghazali memaklumkan dalam kejadian banjir pada awal tahun ini, air sungai selepas surut hanya keruh dan tidak berlumpur sebagaimana insiden kali ini.

Katanya, ia adalah kali kedua beliau mengalami kerugian akibat banjir, termasuk pada awal tahun ini apabila dua sangkar pecah akibat dilanggar kayu hanyut sehingga menyebabkan ikan terlepas.

Berita Harian X