Sabtu, 25 Disember 2021 | 7:56am
Antara bantuan disumbangkan kepada mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli di Pahang. - Foto ihsan JAKOA
Antara bantuan disumbangkan kepada mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli di Pahang. - Foto ihsan JAKOA

62 kampung Orang Asli ditenggelami banjir di Pahang

KUANTAN: Banjir yang melanda negara ketika ini turut menenggelami 62 perkampungan Orang Asli di Pahang sehingga ada yang terputus hubungan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata justeru 565 keluarga berpindah ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

Katanya, bilangan mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli terbabit sebenarnya ramai tetapi sebahagian mereka enggan berpindah ke PPS atas pelbagai alasan.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka lebih selesa menumpang rumah saudara, selain tinggal di dalam khemah dan berada di kawasan bukit walaupun tanpa kemudahan.

"Mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli yang berpindah ke PPS seperti balai raya dan sekolah, menerima bantuan bakul makanan serta barangan lain yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Mereka yang tidak berpindah ke PPS menerima bantuan barangan keperluan asas disampaikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan golongan terbabit," katanya.

Johari berkata, JAKOA tidak ketinggalan memberikan bantuan kepada mangsa banjir, namun agak terhad berikutan beberapa faktor seperti kawasan terputus hubungan dan tidak dapat menemui mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, sokongan serta kerjasama beberapa NGO seperti Projek Asal dan Volunteer Team (JPVT) turut membantu mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli.

Katanya, NGO terbabit antara lain menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Orang Asli Sungai Miak dan Kampung Orang Asli Batu 19, Bentong.

Beliau berkata, sumbangan itu meliputi barang keperluan asas seperti makanan, bahan mentah, dapur, kanvas dan barangan kebersihan diri.

"Selain itu, Pejabat JAKOA Bentong menyumbangkan enam unit tilam angin kepada penduduk Kampung Orang Asli Batu 19 yang berteduh bawah khemah selepas rumah mereka musnah akibat banjir.

"JAKOA akan terus memantau perkembangan Orang Asli yang menjadi mangsa banjir, bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah dan dapat pulang ke rumah masing-masing apabila air surut sepenuh," katanya.

Berita Harian X