Jumaat, 24 Disember 2021 | 10:37pm
Dr Pau Kee sampaikan sumbangan kepada Noraini di Surau Al-Falad, Taman Sri Muda. - Foto UPSI
Dr Pau Kee sampaikan sumbangan kepada Noraini di Surau Al-Falad, Taman Sri Muda. - Foto UPSI

UPSI gerak 220 sukarelawan bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan 220 sukarelawannya membabitkan 130 pelajar dan 90 kakitangan bagi membantu mangsa banjir di beberapa lokasi yang terjejas.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata sukarelawan bersama ResQ Team yang dibentuk beberapa tahun lalu bertindak proaktif membersihkan rumah mangsa banjir, selain menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

"UPSI berganding bahu bersama universiti awam lain mencuci rumah mangsa banjir yang dipenuhi lumpur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin, berkata pihaknya menerima barangan keperluan daripada penyumbang untuk diberikan kepada mangsa banjir, antaranya bantal, tuala mandi, tilam, tuala wanita, lampin pakai buang, susu bayi dan makanan kering.

"Pusat Kaunseling UPSI diketuai Pengarah, Dr Pau Kee turut menggerakkan kempen supaya orang ramai dapat menyumbang, sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan.

"Beliau bersama sukarelawan menyampaikan sendiri sumbangan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Surah Al-Falad, Taman Sri Muda," katanya.

Katanya, esok, UPSI akan menghantar sumbangan kepada 29 keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) dan PPS Dewan Bandaran Teluk Intan.

Mangsa banjir yang telah pulang ke rumah sibuk mengemaskan rumah selepas air mulai surut. - Foto NSTP
Mangsa banjir yang telah pulang ke rumah sibuk mengemaskan rumah selepas air mulai surut. - Foto NSTP

Selain itu, Kesatuan Pegawai Am (KPA) UPSI bersama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) juga menggerakkan 30 sukarelawan ke Hulu Langat untuk mencuci tujuh rumah mangsa banjir.

Norkhalid berkata, Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) menyediakan dana sumbangan berjumlah RM3,000, manakala UCTC memperuntukkan RM2,720 untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

"Kami juga dibantu semua kolej kediaman untuk menyediakan sukarelawan, selain menggerakkan usaha mendapatkan sumbangan," katanya.

Seramai 388 pelajar UPSI turut terkesan akibat bencana itu dan menerima sumbangan daripada universiti.

Mana-mana pihak yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkannya kepada Tabung UPSI Prihatin di nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad: 08068010003264.

Berita Harian X