Jumaat, 24 Disember 2021 | 4:25pm

KPDNHEP Perak siap siaga pantau bekalan makanan, barang keperluan

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sudah bersiap siaga memantau bekalan makanan dan barang keperluan dalam berdepan kemungkinan akan berlakunya banjir di beberapa kawasan di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Perak , Dottie Azlina Ismail, berkata sehubungan itu Pusat Kawalan Penguatkuasaan (ECC) Pengurusan Bencana dibuka bagi melaksanakan persediaan awal dan kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana alam ini.

"KPDNHEP Negeri Perak sudah bersiap sedia untuk mengarahkan 297 peruncit (DDR) dan 120 (DDW) pemborong di seluruh negeri ini untuk membekalkan makanan dan barang keperluan.

"Ia sebagai persediaan situasi diluar jangka yang mungkin berlaku disebabkan oleh bencana banjir yang sudah melanda negara ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai pemantauan Program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP Krismas 2021 dan pemantauan Bekalan Bagi Persediaan Manghadapi Banjir di Perak di lokasi pengusaha telur ayam Cheng Foong Farming, Bercham di sini, hari ini.

Dottie Azlina berkata, selain itu Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan Food Bank Malaysia Zon Utara di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak juga bersedia untuk menerima sumbangan bekalan makanan (CSR) dari pihak yang berkepentingan untuh diagihkan kepada mereka yang terjejas.

"Dalam situasi ini, kita juga membenarkan pemegang lesen untuk menyimpan barang makanan dengan tambahan 30 peratus lagi bagi persediaan untuk menghadapi banjir," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan hari ini juga bertujuan untuk memantau keberadaan bekalan barangan keperluan di Perak berikutan laporan yang menyatakan akan berlakunya banjir di beberapa kawasan di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,200 di sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia(SHMKM) sejak 7 Disember lalu sehingga semalam.

"Dalam tempoh itu, sebanyak 15 kes direkodkan di negeri ini iaitu berkaitan kesalahan tiada tanda harga khas berwarna merah jambu 13 kes manakala dua kes bagi kesalahan menjual melebihi harga kawalan.

"Bagaimanapun, setakat ini tiada aduan diterima dan bekalan barangan masih mencukupi," katanya.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri KPDNHEP Perak , Dottie Azlina Ismail pada Program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP Krismas 2021 dan pemantauan Bekalan Bagi Persediaan Menghadapi Banjir di Perak. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri KPDNHEP Perak , Dottie Azlina Ismail pada Program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP Krismas 2021 dan pemantauan Bekalan Bagi Persediaan Menghadapi Banjir di Perak. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X