Jumaat, 24 Disember 2021 | 4:11pm
Penduduk tempatan bersama sukarelawan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Kampung Jawa, Hulu Langat. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Penduduk tempatan bersama sukarelawan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Kampung Jawa, Hulu Langat. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

'Hikmah Di Sebalik Ujian Banjir'

KUALA LUMPUR: Khutbah Jumaat, hari ini yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi tumpuan pada kejadian banjir melanda negara ketika ini.

Dalam khutbah bertajuk Hikmah Di Sebalik Ujian Banjir itu, khatib turut mengingatkan orang ramai supaya terus melakukan kawalan kendiri dengan sebaiknya bagi mengelakkan terdedah kepada bahaya wabak penyakit kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Beliau berkata, walaupun Allah SWT menguji hamba-Nya dengan bermacam bentuk ujian, sama ada ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, kunci utama bagi menghadapi ujian itu ialah sabar.

Katanya, sabar adalah satu sifat mahmudah dan menjadi senjata paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan.

"Orang yang sabar menghadapi kesusahan dan kepayahan hidup dengan hati yang tenang, berlapang dada, tidak berputus asa, tidak mudah menyerah kalah dan tidak menyangkal akan segala ketentuan dan ketetapan Allah SWT ke atasnya.

"Ingatlah, ujian itu adalah fitrah dalam kehidupan kerana dengan ujianlah boleh menjadikan diri kita lebih tabah, lebih sabar dan lebih mengenal kekuasaan serta kebesaran Allah SWT.

"Setiap ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu adalah yang terbaik buat hamba-Nya," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, peristiwa banjir yang berlaku baru-baru ini menunjukkan manusia adalah makhluk yang sangat lemah dan bergantung harap kepada pertolongan Allah SWT.

Katanya, peristiwa itu juga bertujuan menguji sikap manusia sebagai orang Mukmin dalam menghadapi ujian-Nya.

"Bukan masanya mencari salah dan menuding jari, sebaliknya kita berusaha untuk membantu semampu mungkin mangsa yang terjejas.

"Ramai yang menjadi mangsa dan banyak rumah yang rosak akibat banjir itu, yang turut meragut nyawa," katanya.

Beliau berkata, setiap musibah yang berlaku juga adalah peringatan daripada Allah SWT supaya manusia sentiasa mengingatinya, melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Berita Harian X