Jumaat, 24 Disember 2021 | 3:12pm
Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto fail NSTP
Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto fail NSTP

PKR tuntut sidang khas Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: PKR menggesa satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan Ahli Parlimen membahaskan isu banjir yang melanda beberapa negeri sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sidang khas itu juga perlu bagi membolehkan Ahli Parlimen membahaskan berkenaan tahap kesiapsiagaan jentera kerajaan dalam menghadapi bencana banjir.

Tegasnya, insiden banjir dan tanah runtuh yang dilaporkan sejak minggu lalu, yang antaranya akibat aktiviti manusia, memerlukan Parlimen segera meneliti undang-undang sedia ada bagi mengawal dan mengelakkan bencana seumpamanya bertambah buruk pada masa depan.

"Kita membaca dan meneliti bagaimana tindakan segera kerajaan negeri tersekat akibat koordinasi lemah di peringkat pusat, walaupun aset dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bersedia. Ini semua menjadi pengajaran buat kita.

"Saya menggesa agar satu sidang khas Parlimen diadakan khusus untuk membahas isu banjir dan kesiapsiagaan jentera kerajaan, demi semua ahli Keluarga Malaysia yang sangat terkesan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin berpandangan, insiden hujan tanpa henti selama beberapa hari disusuli tanah runtuh dan banjir besar menjadi peringatan bahawa 'perubahan iklim itu benar' dan mampu mendatangkan kesan luar jangka, sama ada bagi pakar atau kerajaan.

Katanya, kesan perubahan cuaca dunia dan kemunculan pelbagai wabak virus juga menuntut kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di negara maju lebih serius melaksanakan prinsip Urus Tadbir Sosial Persekitaran (ESG) sebagai dasar utama pembangunan.

"Melihat lumpur yang dimuntahkan bukit dan sungai membuktikan bukit kita semakin terhakis dan sungai kita semakin cetek, semuanya kesan aktiviti manusia yang jika tidak dikawal akan membawa padah dan malapetaka.

"Agar Malaysia tidak ketinggalan maka Parlimen perlu segera meneliti segala undang-undang sedia ada berhubung alam sekitar, penjagaan sungai, dan pembangunan bandar yang mampan untuk melihat jauh ke hadapan," katanya.

Setakat hari ini, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan 51,000 mangsa banjir daripada hampir 15,000 keluarga direkodkan berada di 348 jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri yang dilanda banjir.

Selain itu, 133 mangsa daripada 46 keluarga turut ditempatkan di dua PPS di Selangor dan Kuala Lumpur akibat tanah runtuh.

Berita Harian X